Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalam ustaz, saya nak tanya. Sebelum ni saya telah menyertai satu kerja part time. Setelah 3 hari baru saya tahu ianya adalah tidak bagus dan tidak mengikuti undang-undang. Saya telah berhenti mengikuti part time tersebut. Cuma saya nak tanya, dengan hasil saya bekerja selama 3 hari secara part time itu. Hasilnya haram lah kan sebab melanggar hukum syarak. Jadi boleh ke saya guna duit tu atau ada cara lain untuk guna duit tersebut sebab pada asalnya saya tidak tahu itu adalah hasil dari sumber yang haram. Mohon penjelasan ye ustaz.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan secara umumnya bekerja di mana-mana syarikat adalah diharuskan selagimana diyakini tidak ada hubungkait dengan perkara yang dilarang oleh syarak. Pernyataan Ini berdasarkan kaedah fiqhiyyah yang menyebutkan "hukum asal bagi sesuatu itu adalah harus". Namun, Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Maidah ayat 88:
Maksudnya: Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepada-Nya sahaja kamu beriman.
Di dalam ayat ini, menunjukkan kewajipan kita untuk mencari dan memakan rezeki yang halal lagi baik. Lafaz makan dalam ayat ini adalah umum merangkumi segala perbuatan yang lain seperti minum, pakai, menaiki dan sebagainya. Hal ini termasuklah bekerja bagi menyara kehidupan seharian, mestilah ditekankan agar punca rezeki dan mata pencarian datangnya daripada sumber yang halal.
Sehubungan itu, sekiranya diyakini pekerjaan tersebut tidak patuh syarak maka wajib berusaha mensucikannya dengan cara membelanjakannya untuk kegunaan umum umat Islam atau diserahkan kepada pihak Baitulmal, Majlis Agama Islam Negeri dan tidak boleh sama sekali digunakan bagi tujuan kepentingan diri sendiri, ahli keluarga atau sanak saudara.