BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamulaikum. Saya baru kematian anak berusia 36 minggu atau sudah 9 bulan dalam kandungan. Saya lahir kan anak yang sudah meninggal, namun anak saya cukup sifat sempurna. Keluarga hanya memandikan, mengafankan dan terus dikebumikan. Tanpa solat. Adakah solat jenazah wajib bagi arwah anak saya? Jika wajib bagaimana kami dapat memperbetul kembali? Perlukah kami solat jenazah semula? 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Bagi bayi yang lahir dalam keadaan diketahui hayatnya, seperti keluar suara atau menangis, lalu meninggal dunia, maka hukumnya sama seperti orang dewasa, iaitu wajib dimandikan, dikafankan, disolatkan, dan dikebumikan. Begitu juga sekiranya bayi itu lahir dalam keadaan bergerak-gerak atau menggigil, yang menunjukkan tanda hidup, akan tetapi tidak mengeluarkan suara, maka ia juga hendaklah dimandikan, dikafankan, disolatkan, dan dikebumikan, atas dasar berhati-hati.

Namun, jika bayi itu lahir dalam keadaan tidak terdapat tanda-tanda hayat atau kehidupan, tiada suara dan tiada tanda-tanda pergerakkan, maka ia tidak boleh disolatkan. Akan tetapi wajib untuk dimandikan, dikafankan dan dikebumikan.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, berdasarkan kenyataan yang diberikan bahawa bayi itu lahir dalam keadaan ia telah meninggal dunia, iaitu tidak ada lagi kehidupan, maka ia hanya wajib dimandikan, dikafankan dan dikebumikan, tanpa perlu disolatkan. Oleh itu, tindakan yang telah dilakukan itu bertepatan dengan syarak.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 9

message user image