BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

Saya mempunyai ibu berusian 83 tahun. Alhamdulillah masih sihat dan boleh menguruskan diri sendiri termasuk memasak untuk keperluan harian. Ibu saya tinggal seorang diri dan tidak mahu tinggal bersama anak-anak. Sebelum ini ketika saya bekerja, saya akan balik ke kampung setiap 2 minggu (balik pagi sabtu dan pulang semula ke Putrajaya pada petang Ahad). Namun demikian, bermula Mac lalu saya telah menyambung pengajian yang menyebabkan jadual dan rutin saya berubah. Perubahan ketara ialah saya tidak dapat balik secara rutin 2 minggu sekali (namun tidak kurang daripada sebulan sekali), tetapi setakat ini apabila berpeluang pulang tempoh masa berada di kampung adalah lebih panjang. Saya telah mengambil inisiatif untuk menelefon ibu saya setiap malam untuk bertanya khabar bagi mengurangkan rasa terlalu lama saya tidak balik ke kampung. Masalahnya di sini ialah setiap kali telefon ibu saya akan bertanya bila saya akan balik dan jika saya menjawab mungkin lama sikit atau hujung bulan, suara ibu saya seolah-oleh sedih (walaupun kadang-kadang baru seminggu saya balik ke kampung). Ibu saya juga sering mengucapkan ayat bagusnya jika saya dapat bekerja di kampung saya dan tinggal tetap bersama beliau. Perkara ini menyebabkan saya serba salah dan selalu sebak serta sentiasa terfikir-fikir mengenainya. Adakah ianya dikira sebagai anak derhaka? Mohon juga pandangan tuan apa yang sepatutnya saya lakukan dalam hal ini supaya ibu saya tidak terlalu sedih. Saya dahului dengan ucapan terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Secara asasnya mentaati kedua ibu bapa merupakan suatu kewajipan bagi seorang anak kepada kedua ibu bapanya. Bahkan Islam menuntut seseorang anak melakukan sedemikian kerana ia adalah bentuk-bentuk kebajikan kepada mereka. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Isra' ayat ke- 23:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا ‎

Maksudnya: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

Namun begitu, dalam isu yang dibangkitkan ini, ia tidaklah dikira berdosa dan dihukum sebagai anak derhaka kerana tiada sebarang unsur pengabaian terhadap ibu bapa. Tambahan pula, perkara ini melibatkan toleransi antara anak dengan kedua ibu bapa. Oleh itu, cara yang terbaik bagi seseorang anak dalam situasi ini adalah melakukan perbincangan antara ahli keluarga dan ibu bapa, terangkan dan berikan kefahaman kepada mereka tentang keadaan dan situasi yang dialami. Dalam masa yang sama, perbincangan yang dilakukan dengan ibu bapa ini juga mestilah dengan menggunakan bahasa yang lembut dan uslub yang baik dengan penuh hikmah sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Taha ayat ke-44:

فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَّيِّنًا لَّعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَىٰ

Maksudnya: Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman dan kemudahan dalam sebarang kesulitan yang dialami

والله أعلم بالصواب

Sekian, Terima Kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 15

message user image