Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya nak bertanya sedikit dan saya berharap persoalan saya menjawab kerungsingan dan ketidakfahaman. Saya nak bertanya, saya dan suami sempat bersama sebelum sempat mandi wajib. Jikalau saya hamil bagaimanakah status anak? Adakah haram anak yang dikandung? Bolehkah berbin atau binti bapanya? Kerana setelah mencari tahu ilmu, tidak boleh bersama walaupun isteri sudah habis haid tetapi belum mandi bersih. Saya berharap sangat jawapan yang diberikan dapat membantu saya.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, seorang wanita hendaklah mandi wajib terlebih dahulu selepas haid sebelum mengadakan hubungan bersama suami kerana sekiranya seseorang bersetubuh dalam keadaan haid, maka ia menyalahi perintah Allah SWT sebagaimana firmanNya:
Maksudnya: Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. (Surah al-Baqarah: 222)
Justeru, pasangan suami isteri perlulah bertaubat dan berazam tidak mengulangi perkara tersebut. Namun begitu, perbuatan itu tidak memberi kesan kepada nasab anak atau seumpamanya. Sekiranya hamil, anak tersebut tetap dikira anak sah kepada pasangan suami isteri dan tetap perlu berbin/ binti bapanya.