BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Asalammualaikum, saya nak bertanya tentang kehidupan orang yang bukan islam selepas mati. Baru baru ni saya ada tengok kehidupan masyarakat di negara burundi (di youtube) dimana mereka semua bukan islam dan kehidupan mereka sangat sangat miskin sehinggakan ada dikalangan mereka yang tidak mengenali apa itu duit. Jadi persoalan saya, adakah mereka akan dicampak kedalam api neraka kerena mereka bukan islam? Allah maha adil, kehidupan di dunia mereka susah apakah mereka tetap akan dicampak kedalam neraka


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Sebagai umat Islam, umum mengetahui Islam adalah agama yang benar. Firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran ayat 19:

إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ

Maksudnya: Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.

Oleh itu, yang akan masuk syurga nanti hanyalah orang Islam sahaja. Hadis yang diriwayatkan daripada Usman bin Affan RA, sabda Nabi SAW:

من مات وهو يعلم أنه لا إله إلا الله دخل الجنة

Maksudnya: Sesiapa yang mati dalam keadaan dia tahu tiada Tuhan selain Allah akan masuk syurga. (Riwayat Muslim)

Manakala, orang yang tidak beriman atau kafir akan dimasukkan ke dalam neraka. Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa' ayat 56:

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِنَا سَوْفَ نُصْلِيهِمْ نَارًا 

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka.

Namun terdapat satu golongan lagi yang disebut sebagai ahli fatrahAhli fatrah adalah mereka yang tidak sampai dakwah Islam kepada mereka walaupun zaman tersebut telah diutuskan Rasul. Keadaan ahli fatrah ini diakhirat nanti akan selamat daripada seksaan api neraka. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Isra' ayat 15:

وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبْعَثَ رَسُولًا

Maksudnya: Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). 

Tidak dinafikan masih ada kawasan pedalaman tertentu yang belum sampai ajaran Islam di sana. Hal ini kerana kehidupan mereka yang jauh daripada peradaban sekarang bahkan tiada alat komunikasi ke dunia luar. Bagi situasi seperti ini, mereka boleh dikategorikan sebagai ahli fatrah. Ahli fatrah di akhirat nanti akan selamat daripada api neraka. (Tuhfatul Murid) 

Menjawab persoalan berkaitan masyarakat di sana, kita serahkan perkara ini kepada Allah SWT. Yakinlah, Allah Maha Adil terhadap hambaNYa. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

                                                                                                                           


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 19

message user image