BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum saya ingin bertanya, Adakah pelajar yang meniru dengan banyak ketika peperiksaan akhir sehingga dia tidak tahu sama ada dia boleh lulus atau tidak sekiranya tidak meniru dikira mengambil hak orang lain sekiranya diri dia berjaya menyambung pelajaran di universiti. Saya risau sekiranya ada pelajar lain diluar yang sepatutnya mendapatkan tempatnya di universiti ini namun tidak mendapatkannya disebabkan oleh diri saya. Seperti yang diketahui, kuota kemasukan ke setiap ipta di Malaysia adalah terhad dan ada sesetengah pelajar yang bahkan gagal mendapat peluang untuk menyambung pelajaran walaupun keputusan mereka tidaklah terlalu teruk. Namun, kini saya sudah berhenti dari perbuatan meniru tersebut dan menjadi pelajar cemerlang di dalam kelas. Adakah haram bagi saya untuk meneruskan pengajian ini?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Perbuatan meniru dalam peperiksaan dan berbincang ketika kuiz adalah perbuatan pecah amanah. Seorang pelajar atau mahasiswa diamanahkan supaya tidak menipu atau meniru ketika peperiksaan dan sebagainya. Pecah amanah hukumnya adalah haram. Hal ini seperti yang pernah ditegaskan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW:

آيةُ المُنافِقِ ثلاثٌ: إذا حدَّثَ كذَبَ، وإذا وعَدَ أخلَفَ، وإذا ائْتُمِنَ خان

Maksudnya: Tanda-tanda orang munafik ada tiga. Jika dia berkata dia berdusta. Jika dia berjanji dia mungkiri. Jika dia diberikan amanah dia khianati.

Maka, perbuatan meniru ketika peperiksaan dan yang berkait dengan perbauatan menipu sebegini adalah berdosa kerana mengkhianati amanah sebagai seorang pelajar. Walau bagaimanapun, tiada masalah meneruskan pengajian pada peringkat seterusnya kerana sijil pengajian sebelum ini telah disahkan. Perbuatan sebelum ini tidak menjejaskan sijil pengajian yang akan datang.  Berazamlah untuk tidak melakukan perkara sebegini lagi bagi memperoleh keberkatan daripada Allah SWT.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 13

message user image