Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
1. Apakah hukum untuk membeli mainan dengan harga murah / harga pasaran, dan jual dengan harga tinggi? Ketinggian harga jual semula tertakluk kepada pengumpul mainan (toy collector).
2. Saya membeli 80 biji mainan dalam satu kotak buta. Maksudnya dalam kotak buta itu, isinya rawak. Ada mainan yang harga tinggi, ada mainan yang harganya rendah. Apa hukum saya beli mainan kotak buta tersebut dengan niat nak menjual semula ikut harga tidak tetap (dan ketinggian harga ikut pengumpul mainan)?
Sekian, terima kasih.
Jawapan
Merujuk pada persoalan yang telah dikemukakan.
Hukum membeli mainan dengan harga yang murah atau di bawah harga pasaran dan menjual semula dengan harga yang tinggi adalah harus selagi mana tidak mengandungi unsur-unsur yang menyalahi syarak seperti riba, gharar, rasuah dan penipuan. Bahkan ia juga adalah salah satu bentuk manfaat untuk mendapatkan keuntungan.
Menjawab persolalan kedua yang diajukan, pihak pembeli telah maklum isi kandungan kotak buta tersebut dan mengetahui secara langsung terdapat mainan yang mempunyai nilai harga tinggi dan terdapat juga mainan dengan nilai harga rendah. Hukum pembelian tersebut adalah diharuskan dengan kedua-dua pihak membuat akad jual beli dengan syarat pembeli meredai pembelian barang tersebut dan penjual juga meredai dengan nilai bayaran yang diterima.