BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum saya ingin bertanya. Saya tahu ini mungkin kedengaran pelik dan sekarang saya cuba menghentikan tabiat ini. Adakah membuat senario palsu di kepala saya, di mana terdapat watak yang saya bayangkan bukan Islam, dan mengamalkan perkara seperti perkahwinan sivil sahaja tanpa melaksanakan akad nikah boleh menyebabkan saya menjadi kafir? Kerana saya sudah tahu membayangkan perkara yang melibatkan maksiat sahaja sudah berdosa namun saya melakukannya juga namun dahulu tidaklah terlintas di dalam fikiran saya sekiranya membayangkan perkara seperti ini dapat membuatkan saya menjadi kafir ataupun tidak. Sekarang ini saya mula menyedari betapa salahnya perkara ini dan perlahan-lahan mula berhenti mereka-reka senario seperti ini. Dan apakah yang harus saya lakukan untuk bertaubat dari dosa ini? Adakah haram untuk saya menonton rancangan tv yang mengandungi watak bukan Islam kerana perkara seperti ini boleh mempengaruhi saya?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Lintasan hati suatu perkara yang lumrah, ia bepunca daripada pemikiran tidak tenang, juga hasutan syaitan yang menjadikan seseorang was-was serta tidak tenang. Berusahalah dengan menuntut ilmu, beribadat dan berzikir mengingati Allah SWT, sebagaimana firmanNya di dalam Surah Ar-Ra'd ayat ke 28:

الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya : "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.

Untuk itu saudari perlu berusaha “melawan” lintasan-lintasan tersebut;

i. Dengan sentiasa berzikir kepada Allah SWT.

ii. Tidak “melayan” lintasan-lintasan tersebut dengan fikiran dan perasaan, sebaliknya gantikan dengan perkara-perkara yang baik, dengan meningkatkan kerja-kerja amal soleh/ ibadat.

iii. Sibukkan diri dengan kerja-kerja kebajikan serta elakkan berada bersendirian dalam tempoh yang panjang.

iv. Dapatkan rawatan dan nasihat kaunselor bertauliah. Lintasan hati tidak membawa apa-apa hukum, bagaimanapun jika tidak dikawal dan diatasi, ia boleh membawa mudharat yang lebih besar. Daripada rasa syak boleh membawa kepada yakin. Daripada lintasan hati boleh membawa kepada lafaz atau ikrar.

Oleh itu hendaklah sentiasa memperbaharui syahadah dengan mengucap kalimah syahadah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

جَدِّدُوا إِيمَانَكُمْ "، قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ، وَكَيْفَ نُجَدِّدُ إِيمَانَنَا؟ قَالَ: " أَكْثِرُوا مِنْ قَوْلِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ

Maksudnya: Perbaharuilah kamu semua akan iman kamu. Dikatakan : Wahai Rasulullah! Bagaimana kami hendak memperbaharui iman kami? Baginda menjawab : Perbanyakkan mengucapkan kalimah La Ilaaha Illallah. (Riwayat Ahmad) 

Allah Maha Pengampun. Pengampunan (Rahmat) Allah SWT mengatasi kemurkaanNya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, Terima Kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 13

message user image