Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum w.bt,
Saya ada satu persoalan. Semasa saya menunaikan umrah dahulu, dalam keadaan ihram dari Madinah. Apabila sampai di Mekah saya ke Hotel dahulu sebelum mengerjakan tawaf untuk ke tandas dan membersihkan diri serta menyimpan beg. Masuk sahaja dibilik hotel saya memakai tuala hotel yang berbau sangat wangi dan keadaan dalam bilik hotel itu juga sangat wangi. Saya berniat untuk membersihkan diri semata-mata dengan memakai tuala tersebut tapi merasa tidak selesa dengan keadaan wangi tersebut semasa saya dalam keadaan ihram. Apakah hukumnya Ustaz, terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan:
Memakai tuala yang mempunyai wangian ketika ihram adalah harus kerana tujuan penggunaan tuala itu adalah untuk mengeringkan badan dan bukannya untuk berwangi-wangian. Hal ini bertepatan dengan kaedah Fiqh:
Maksudnya: Dimaafkan pada perkara yang terkandung, apa yang tidak dimaafkan pada perkara yang sama jika menjadi tujuan.
Selain itu, merujuk kepada buku Soal Jawab Ibadat haji, Umrah dan Ziarah yang dikeluarkan oleh Ahli-Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji (YH-JAKIM):
"Memakai ubat gigi, minyak-minyak ubat dan sabun mandi hukumnya adalah harus walaupun jika ada berbau wangi kerana penggunaannya bukan kerana berwangi-wangi (تطيب) begitu juga sabun mandi jika digunakan semata-mata dengan maksud membersih (تنظيف) adalah harus.”
Sekiranya penggunaan sabun yang bertujuan untuk membersih adalah harus, maka lebih utama penggunaan tuala yang asalnya adalah untuk mengeringkan badan adalah diharuskan walaupun berbau wangi yang berkemungkinan kesan daripada sabun yang digunakan untuk membasuh tuala tersebut.
Sekian, terima kasih.