BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalam ustaz, saya nak bertanya, saya dapat kerja secara part time dekat satu syarikat luar negara. Apabila saya selidik. Syarikat tersebut meningkatkan rating applikasi di play store dan app store. Jadi pekerjaan saya, Saya perlu meletakkan modal untuk dapatkan tugasan. Dan setiap saya buat tugasan, diberikan komisyen. Selepas saya selesaikan tugasan, Saya boleh keluarkan semula modal dan komisyen saya. Jadi tiada kerugian. Saya dibayar secara USD. Jadi saya nak tanya ustaz. Sebab saya ragu ragu. Adakah haram pendapatan saya.  Selain itu, jika saya bekerja disitu secara full time atau part time. Saya akan diberikan gaji. Jadi saya cuma ragu-ragu adakah pekerjaan saya ini haram. Untuk pengetahuan ustaz. Kerja saya hanyalah submit apps yang diberi. Komisyen hanyalah 0.5% dari harga apps tersebut. Sebagai contoh Instagram harganya 65USD, dari 65USD saya dapat 0.5% sahaja. Jadi saya mintak penjelasan ustaz. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
 

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

Secara umumnya meletakkan modal atau meletakkan bayaran untuk mendapatkan peluang pekerjaan boleh menimbulkan keraguan (syubhah). Jika seseorang perlu membayar sejumlah wang sebagai syarat untuk mendapatkan tugas atau kerja, ia mengandungi elemen ketidakpastian (gharar). Perlu diperjelaskan dengan spesifik apakah tujuan pembayaran tersebut. Ini kerana konsep bayar wang pendahuluan dan kemudian dijanjikan pulangan setelah selesai tugasan merupakan suatu bentuk pelaburan yang boleh meningkatkan risiko judi atau maisir. Dalam situasi ini hadis yang diriwayatkan daripada Al-Nu'man bin Basyir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

    إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُورٌ مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ

Maksudnya: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, tetapi di antara kedua-duanya ada perkara yang syubhah (meragukan) yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa yang menjauhi perkara syubhah, dia telah menyelamatkan agamanya dan maruahnya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhah, maka dia terjatuh dalam perkara haram. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kerja Meningkatkan Rating Aplikasi

Jika kerja tersebut melibatkan manipulasi untuk meningkatkan rating aplikasi agar nampak lebih baik daripada yang sepatutnya, ini boleh dianggap sebagai satu bentuk penipuan. Ini kerana ia memberi gambaran palsu tentang kualiti aplikasi kepada pengguna lain. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَن غَشَّ فليس مِنَّا

Maksudnya: Barangsiapa yang menipu, maka dia bukan dari kalangan kami. (Riwayat Muslim)

Oleh itu, pendapatan yang diperoleh daripada aktiviti yang mengandungi unsur penipuan tidak dianggap halal menurut syarak.

Komisyen Berdasarkan Kerja Jujur

Jika pekerjaan tersebut hanya melibatkan pengujian aplikasi dan memberikan ulasan yang jujur berdasarkan pengalaman menggunakan aplikasi tersebut, maka ia boleh dikategorikan sebagai kerja yang halal. Hal ini kerana tugas tersebut adalah jelas, tidak mengandungi unsur tipu daya, dan pekerja dibayar atas khidmat yang dilaksanakan.

Namun, perlu dipastikan bahawa setiap tugasan tidak terlibat dengan sebarang manipulasi maklumat atau penipuan yang boleh mengaburi pengguna.

Nasihat untuk Situasi Ini

Dalam situasi di mana terdapat keraguan (syubhah) tentang halal atau haramnya sesuatu pendapatan, lebih baik seseorang meninggalkannya dan mencari alternatif yang lebih jelas berdasarkan hadis yang telah dikongsikan di atas. Oleh itu, sekiranya ada pilihan pekerjaan lain yang lebih jelas dan bebas daripada unsur keraguan. Manakala konsep meletakkan modal untuk mendapatkan tugasan serta kerja yang berkaitan dengan manipulasi rating boleh membawa kepada perkara yang diragui kesuciannya. Jika ada pilihan pekerjaan lain yang lebih jelas, adalah lebih baik untuk beralih kepada pekerjaan tersebut bagi memastikan rezeki yang diperolehi adalah halal dan diberkati oleh Allah SWT.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 21

message user image