Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam saya nak bertanya mengenai hukuman kepada orang yang telah berzina?
saya telah berzina banyak kali tak terhitung bilangannya.
teman lelaki apabila diajak untuk bertanggungjawab, dia mengata tidak bersedia untuk berkahwin kerana alasan saya mempunyai penyakit mental yang menyebabkan saya mempunyai sifat yang sukar dikawal.
dia juga telah mengatakan bahawa dia jika berkahwin, selepas akad, dia akan terus menceraikan saya sejurus akad selesai
adakah orang yang berzina wajib berkahwin dengan pasangan yang telah dia berzina?
adakah ini semua balasan dari Allah kerana saya ini pendosa yang tidak taat kepadanya dan saya jugak tidak menjaga solat lima waktu?
apakah hukum dan hukuman kepada kami?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, perbuatan zina adalah perbuatan yang keji dan merupakan dosa besar bagi pelakunya. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah al-Nisa' ayat 32;
Maksudnya: Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan seburuk-buruk jalan.
Justeru, bagi pelaku zina yang beragama Islam wajib bertaubat kepada Allah SWT dan berazam untuk tidak melakukannya lagi. Adapun hukum bagi penzina yang ingin berkahwin dengan pasangannya tidak menjadi wajib bagi mereka berkahwin dengan sesama penzina namun ianya hanya harus sahaja. Selain itu, isu keharusan menikahi sama ada penzina atau bukan penzina adalah merupakan sudut keutamaan memilih pasangan hidup. Di dalam hal ini, sudah tentu mereka yang soleh dan menjaga diri daripada kefasikan adalah pasangan yang terbaik untuk dikahwini sebagaimana firman Allah S.W.T:
Maksudnya: Dan perempuan-perempuan yang baik itu adalah untuk lelaki-lelaki yang baik begitu juga lelaki-lelaki yang baik itu adalah untuk perempuan-perempuan yang baik.
Walau bagaimanapun, suka untuk diingatkan bahawa terdapat perbezaan pendapat para ulama mengenai keharusan berkahwin bagi seorang penzina, namun para ulama telah bersepakat bahawa zina adalah dosa besar yang wajib dijauhi. Zina juga mengundang kemurkaan Allah SWT sehingga diwajibkan keatasnya hukuman tertentu iaitu bertujuan untuk memberatkan penzina tersebut ke atas dosa yang dilakukan.
Justeru, sebaiknya hendaklah dipastikan pelaku zina benar-benar bertaubat terlebih dahulu sebelum bernikah kerana perkahwinan dalam islam merupakan ibadah. Maka sewajarnya pelakunya bertaubat kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taubat sebelum melaksanakan tuntutan ibadah yang besar iaitu perkahwinan.
Akhir kata, kami juga ingin menasihatkan supaya puan memperbanyakkan amalan-amalan kebajikan dan beristighfar sebagai pengampun dosa yang telah dilakukan kerana sebaik-baik manusia yang melakukan kesalahan adalah mereka yang segera bertaubat kepada Allah SWT. Anggaplah dosa yang lalu itu sebagai pengajaran bagi diri puan supaya tidak mengulangi perbuatan dosa itu lagi masa akan datang dan moga-moga Allah SWT mengampunkan dosa puan yang lalu dan semoga puan diberikan hidayah untuk kembali ke jalan yang Allah SWT reda dengan melaksankan semula solat lima waktu. Sesungguhnya Allah SWT itu amat mengasihani hambanya yang benar-benar ingin kembali kepadaNya.
Sekian, Terima Kasih