Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikom Alfadzil ust,
Saya ingin bertanyakan soalan berkenaan hukum bagi ibu selepas bersalin secara czer perlu mengambil suntikan ubat cair darah. Ubat cair darah yang dibekalkan adalah berjenama inhixa. ( Nama ubat adalah enoxaparin sodium.) Berdasarkan carian google, ubat tersebut mengandungi ekstrak daripada asal babi ( khinzir ). Pesakit tersebut perlu menyuntik ubat enoxaparin sodium kedalam tubuh badan sebanyak 1 kali selama 14 hari.
S. Apakah hukum suntik ubat yang mengandungi ekstrak daripada asal babi kedalam tubuh badan bagi pesakit y beragama islam ?
Sekian soalan saya.
Terima kasih dan wassalam.
Jawapan
Islam sangat mementingkan kebaikan dan kesihatan. Dalam aspek kesihatan orang-orang Islam disuruh supaya menjaga tubuh badan agar sentiasa berada dalam keadaan sihat, di samping itu Islam menyuruh umatnya berikhtiar mengubat apabila dijangkiti sesuatu penyakit. Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan dan mengubati penyakit.
Selain daripada itu, dalam konteks pengubatan, orang-orang Islam harus memahami prinsip-prinsip berikut iaitu:
(a) Kuasa penyembuh bagi sesuatu penyakit itu adalah kekuasaan Allah.
(b) Manusia hanya dikehendaki berikhtiar dalam mengubati sesuatu penyakit.
(c) Cara-cara dalam mengubati sesuatu penyakit itu mesti tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip yang ditetapkan oleh Islam. Seperti penggunaan ilmu hitam, atau lain cara yang ditegah oleh Allah.
(d) Bahan-bahan ubatan yang digunakan mestilah sesuai dengan Islam. Seperti suci dan tidak dari najis/bernajis. Kecuali dalam keadaan terpaksa.
(e) Menjaga diri dari terkena penyakit lebih baik dari mengubat. 'Prevention is better than cure'.
2.6. Penjelasan Mengenai Pengecualian Dalam Penggunaan Ubat-Ubatan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, secara prinsipnya bahan-bahan yang haram dan najis adalah dilarang digunakan sebagai ubat. Walaubagaimanapun dalam keadaan tertentu, di mana tidak ada bahan yang boleh dijadikan ubat bagi mengubati sesuatu penyakit, orang Islam diharuskan mengambil bahan-bahan yang haram untuk pengubatan. Pengecualian dalam hal ini berpandukan kepada nas-nas seperti berikut:
(a) Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 172 - 173:
Maksudnya: Hai orang yang beriman, makanlah barang yang baik-baik dari apa yang diberikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya. Sesungguh-nya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah, maka barangsiapa dalam keadaan terpaksa dengan tidak sengaja dan tidak melampaui batas, maka tidaklah berdosa baginya (memakan/mengguna benda-benda yang haram) kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun Lagi Mengasihani.
(b) Surah al-Anaam ayat 145::
Maksudnya: Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana dharurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, sesungguhnya Tuhanmu amat pengampun, lagi amat mengasihani.
(c) Surah al-Baqarah ayat 195:
Maksudnya: Jangan kamu mencampak diri kamu kepada kebinasaan.
(d) Surah al-Maidah ayat 3:
Maksudnya: Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan diharamkan juga) kamu menengok nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik.
(e) Kaedah dalam Islam berbunyi:
Maksudnya: Keadaan terpaksa (dharurat) mengharuskan perkara-perkara yang ditegah.
Dalam hal ini, pengecualian yang ditetapkan dalam penggunaan bahan-bahan haram sebagai ubat, hendaklah menepati syarat-syarat seperti berikut:
(a) Tidak terdapat atau sukar mendapatkan bahan yang halal untuk mengubati penyakit yang berkaitan.
(b) Penggunaan bahan berkenaan hendaklah di bawah arahan dan nasihat doktor.
(c) Pengambilan ubat dari bahan yang haram hendaklah sekadar yang diperlukan sahaja.
Kesimpulannya hukum pengambilan suntikan ubat yang mengandungi ekstrak berasal daripada babi dapat dirumuskan kepada beberapa keadaan:
Harus dengan kadar yang dibenarkan sekiranya berada dalam keadaan dharurat dan tidak terdapat alternatif ubat halal yang lain.
Haram sekiranya masih terdapat alternatif ubat lain yang tidak bercampur dengan bahan haram.
Sekian, terima kasih.