Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum, saya ada sakit kulit kering maka saya pakai pelembab waterbase dan juga vaselin di tapak tangan.
untuk wuduk saya tidak sabun kerana tiada sabun, adakah wuduk masih sah? Kerana mungkin air tak kena kulit sebab ada vaselin.
Tapi sakit kulit susah nak buang pakai sabun, takut mudarat.
Mohon pencerahan, salam.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, antara syarat sah wuduk adalah mengenakan air sehingga ke kulit. Dalam keadaan situasi anda, dapat dipertimbangkan beberapa perkara iaitu:
1. Sekiranya pelembap atau vaselin yang digunakan hanya membentuk lapisan yang sangat tipis dan berkemungkinan air tetap boleh meresap dengan cubaan membilas tangan perlahan-lahan tanpa menggosok berlebihan yang boleh membahayakan kulit, maka wuduk tersebut adalah sah.
2. Namun sekiranya keadaan anda benar-benar tidak boleh menghilangkan kesan vaseline tersebut tanpa mendatangkan kemudaratan kepada anggota wuduk, maka perkara tersebut adalah dimaafkan sekiranya jelas tiada ubat lain jenis telap air yang dapat digunakan bagi mengubati penyakit kulit tersebut. Dalam situasi tertentu, para ulama memberikan kelonggaran terutama sekali dalam perkara yang berkait dengan masalah kesihatan.Ini berdasarkan kaedah fiqh:
Maksudnya: Kesukaran mendatangkan kemudahan.
3. Melihat kepada rukhsah (keringanan) yang lain pula, sekiranya keadaan kulit kering menyebabkan wuduk menjadi lebih sukar dan mungkin lebih memudaratkan, maka anda juga boleh mempertimbangkan tayammum (bersuci dengan debu) sebagai ganti. Tayammum adalah pilihan untuk mereka yang tidak mampu menggunakan air.
Sekian, terima kasih.