Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammua’laikum ustaz, saya mahu tanya tentang keberkatan gaji, dulu mula saya masuk kerja saya jenis “lambat slow progressing” dan jenis “blur” sedikit, dan saya pernah dimarahi seorang staff, selepas itu saya tak hadir bekerja selama 2 hari sehingga orang atasan menelefon saya supaya berbincang dan menyelesaikan masalah isu ini saya beritahu mereka yg saya ada masalah kesihatan dan mempunyai kad sakit, (tapi ada keraguan sebab saya rasa tidak layak dapat kad sakit itu dan saya buat kad sakit itu bimbang dengan dokumen yg tidak benar tuntutan yg saya ada beberapa tahun lepas) jadi takut ada unsur keraguan/penipuan, dulu saya beritahu sakit saya dan tunjuk mereka kad sakit itu dan mereka semua percaya bahawa saya ada masalah kesihatan..padahal takut jika dulu saya telah menipu dan pernah sakit berlakon/pura2 manipulasi mereka semua sepanjang saya bekerja di syarikat itu..
namun sepanjang saya bekerja saya tetap buat tugasan sama seperti staff yang lain sebagai “promoter” cuma saya diberi keringanan dan layanan istimewa, seperti orang atasan tidak “push” saya buat kerja keras yg lain seperti staff yg lain kerana mereka mahu “jaga” saya dan saya dianggap “special”, (saya bimbang jika telah mengambil kesempatan dan jika pernah menyusahkan staff lain).
Saya bimbang tentang soal keberkatan gaji saya, adakah gaji saya selama saya berada syarikat itu gaji saya halal atau haram? Selama mana saya bertugas, Saya sudah berhenti dan gaji itu saya sudah beli handphone dan barang keperluan lain untuk belajar, saya amat menyesal dengan perbuatan saya dulu dan berazam tidak mahu mengulangi dan saya mahu bertaubat tetapi rasa tidak senang hati, apakah gaji saya itu masih halal? Andai jika ada penipuan..mohon sangat penjelasan dari ustaz/mufti..terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, agama Islam sangat menitikberatkan supaya umat Islam mengambil jalan yang halal dalam mencari rezeki. Hal ini berdasarkan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 188:
Maksudnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.
Justeru, perbuatan yang dilakukan oleh puan seperti menggunakan kad sakit tanpa alasan yang benar merupakan satu penipuan dan ianya perbuatan dosa yang wajib dihindari. Menipu dan berbohong dalam melaksanakan kerja akan menyebabkan gaji dan pendapatan yang diperoleh itu kurang keberkatannya, bahkan boleh terjerumus pada jalan yang haram. Namun, sekiranya puan menggunakan kad sakit itu sebagai bukti bahawa puan sememangnya tidak sihat maka tidak dikira menipu.. Oleh itu, di dalam Islam kejujuran amat penting yang perlu dihias bagi diri seorang Muslim seperti hadis Nabi SAW yang diriwayatkan dari ‘Abdullah bin Mas‘ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Hendaklah engkau bersifat jujur. Kerana sesungguhnya kejujuran itu membawa ke arah kebaikan. Kebaikan pula membawa ke arah syurga. (Riwayat al-Bukhari)
Namun jika sekiranya perlakuan ini sudahpun berlaku, dan pelakunya juga menginsafi akan perbuatan tersebut selain berazam untuk tidak mengulanginya, maka hendaklah pelakunya itu bertaubat dengan taubat nasuha.. Adapun dosa yang lalu seperti menipu dalam pekerjaan, moga-moga Allah SWT mengampunkan dosa yang lalu, Firman Allah SWT dalam Surah al-Ma'idah ayat 95:
Maksudnya: Allah maafkan apa yang telah lalu.
Akhir kata, perbanyakkanlah amalan kebajikan dan beristighfar sebagai pengampun dosa yang telah dilakukan kerana sebaik-baik manusia yang melakukan kesalahan adalah mereka yang segera bertaubat kepada Allah SWT. Anggaplah ia sebagai pengajaran bagi diri puan supaya tidak mengulangi perbuatan dosa itu lagi pada masa akan datang.
Sekian, Terima Kasih