BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz

Adakah saya dikira bersubahat jika berkerja dengan syarikat yang menyokong LGBT (Shell)? Saya berkerja dalam bidang perkapalan dan maritim. Skop kerja saya lebih kepada pemeriksaan kapal dalam urusan penghantaran kargo (minyak dan gas) dalam pelabuhan Malaysia.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Bekerja dengan salah satu syarikat yang menyokong LGBT adalah Harus. Begitu juga  dengan pendapatan yang diterima daripada syarikat tersebut  adalah halal, dengan syarat, syarikat tersebut tidak menjadikan aktiviti promosi kepada kemungkaran seperti LGBT itu sebagai tujuan utama penubuhan syarikat tersebut. Hal ini berdasarkan Firman Allah SWT yang melarang umat Islam menyokong usaha-usaha kemungkaran seperti dalam surah Al-Maidah ayat 2:

 وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan

Walau bagaimanapun, sekiranya syarikat tersebut hanya menjadikan kemungkaran itu sebagai salah satu promosinya atau sokongannya, maka sebagai seorang pekerja dia tidaklah menanggung dosa mempromosikan kemungkaran itu, melainkan pekerja itu redha dengan kemungkaran tersebut. Melarang secara total pembelian kepada syarikat seumpama itu juga boleh mendatangkan masyaqqah (kesukaran) kepada umat Islam. Justeru sebagai umat Islam, sebaiknya elakkan daripada menyokong syarikat tersebut dan kita digalakkan untuk mengutamakan syarikat Muslim yang mempromosikan kebaikan. Namun sekiranya matlamat penubuhan syarikat tersebut adalah untuk memperjuangkan LGBT atau seumpama dengannya, maka dilarang untuk berurus niaga dengannya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

                                                                                                                           


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 10

message user image