Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ingin bertanya beberapa soalan
1. Adakah seseorang yang meniru dan sehinggakan dia lulus sesebuah subjek itu disebabkan dia meniru dikira memalsukan sijil ijazahnya? Kerana untuk mendapatkan sijil diploma, ijazah, dan ke atas, seseorang pelajar perlu lulus dalam semua subjek. Saya sudah mencari jawapan bagi soalan ini dan berbagai jawapn yang saya temui. Ada sesetengah ulama yang mengatakan perkara ini dianggap memalsukan sijil dan haram untuk digunakan sijil itu. Ada yang menjawab orang itu perlu menduduki semula peperiksaan bagi subjek tersebut. Namun, di universiti saya, hanya pelajar yang mendapat gred C ke bawah sahaja dibenarkan untuk mengambil semula kertas ulangan. Ada yang menjawab, sekiranya pelaku itu memohon kerja yang tiada kaitan dengan subjek yang dia meniru, maka insha'Allah tiada masalah baginya. Seterusnya, ada juga ulama yang menjawab, pelaku itu harus mengakui perkara ini kepada majikannya, supaya memastikan dirinya jujur. Dan akhir sekali, jawapan yang paling saya banyak temui adalah halal gaji yang diterima sekiranya pelakunya mengerjakan tugasannya dengan baik dan bertaubat dari dosa meniru. Berikut merupakan jawapan yang saya temui
2. Saya sekarang merupakan pelajar semester 3 di ipta. Dahulu semasa spm, saya akui, khilaf saya, saya meniru untuk 5 dari 8 subjek dengan cara membawa masuk nota secara diam-diam. Sejujurnya, saya akui saya agak tertekan dahulu akibat ekspektasi orang disekeliling saya sehinggakan saya mengambil jalan pintas untuk meniru. Saya malu dan kesal dengan perbuatan saya ini dan sejujurnya ia masih mengganggu diri saya hingga hari ini. Dahulu, ketika mengisi permohonan untuk melanjutkan pelajaran, saya ada membuat anggaran, sekiranya saya tidak meniru, saya berkemungkinan untuk mendapatkan gred apa dan saya fikir saya masih mampu untuk memenuhi syarat minima. Namun beberapa bulan lalu, saya baru teringat, yang saya telah meniru dalam beberapa subjek lebih dari yang saya ingati termasuklah subjek sejarah. Saya khawatir, sekiranya saya tidak meniru dalam sejarah, maka saya berkemungkinan gagal spm. Pernah saya ajukan soalan ini kepada alim yang lain dan dia mengatakan saya perlu mengambil semula kertas ulangan dalam subjek yang telah saya meniru. Jadi, adakah perbuatan saya ini dianggap secara tidak langsung mengambil hak orang lain juga yang berkemungkinan layak untuk menerima tawaran di universiti ini namun gagal kerana diri saya? Adakah boleh bagi saya meneruskan belajar di sini?
3. Dikeranakan perkara tersebut baru terlinas di fikiran saya beberapa bulan lalu, saya akui saya ada meniru dalam 3 subjek sepanjang 2 semester lalu. Salah satunya, saya khawatiri, saya mungkin gagal sekiranya tidak meniru. Merujuk kepada nombor 1, apakh yang seharusnya saya lakukan? Adakah wajar untuk saya pergi menemui pensyarah saya yang mengajar subjek tersebut dan memohon maaf? Kerana saya mendapatkan gred A untuk subjek tersebut jadi saya tidak boleh untuk memohon mengambil kertas ulangan. Sekiranya nanti saya lulus dan mendapat sijil diploma saya, adakah sijil saya dianggap sebagai sijil yang dipalsukan.
Itu sahaja soalan saya. Terlebih dahulu saya memohon maaf sekiranya soalan saya agak panjang.
Jawapan
Merujuk kepada situasi dan soalan yang diajukan, ingin dijelaskan terlebih dahulu hukum meniru dalam peperiksaan adalah haram dan berdosa kerana meniru merupakan satu penipuan.
Walau bagaimanapun, ingin dirumuskan bahawa sekiranya perbuatan tersebut sudahpun berlaku, maka hendaklah pelakunya bertaubat dengan sebenar-benarnya kemudian berazam untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut. Sekiranya pelaku tersebut berjaya memperolehi kerja yang baik di masa hadapan dengan menggunakan sijil hasil meniru ketika peperiksaan, maka hendaklah pelakunya melaksanakan tugas dengan penuh amanah. Selain itu, disarankan juga memperbanyakkan sedekah daripada rezeki yang diperoleh supaya mendapat keberkatan dan keredhaan Allah SWT. Adapun pada masa ini pelaku masih lagi menuntut ilmu, maka perlulah diteruskan usaha menuntut ilmu dengan tekun dan amanah serta tidak mengulangi kekhilafan lalu. Akhir sekali, bagi kesilapan yang lalu memadai untuk memohon keampunan dari Allah SWT dan tidak perlu diceritakan kepada sesiapa.