BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya nak bertanya, apakah hukumnya seorang lelaki berkata bahawa dia telah bercerai dengan isterinya yang telah dinikahi tanpa berdaftar di Malaysia. (Merupakan isteri kedua pada masa tersebut)

 
Dia mengaku bahawa dia adalah lelaki bujang dan telah menceraikan isterinya yang tidak berdaftar di mana2 jabatan agama Islam di Malaysia. Dalam borang perkahwinan nya juga telah disahkan bahawa dia adalah lelaki bujang (telah bercerai dengan isteri pertama yang didaftarkan di Malaysia) kerana tiada rekod perkahwinan kedua beliau di dalam sistem perkahwinan di Malaysia. Sebelum berkahwin saya ada meminta untuk melihat surat menyatakan perceraian mereka tetapi beliau menyatakan tidak ada kerana perkahwinan mereka tidak pernah di daftarkan. Dia juga mengaku dengan seluruh ahli keluarga saya bahawa dia telah bercerai dengan isteri nya ketika itu. 

Persoalan saya, adakah lafaz cerai itu berlaku? Kerana setelah 5 bulan berkahwin, saya dapat tahu bahawa suami masih bersama dengan isterinya sehingga sekarang. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan.

Mengetahui lafaz yang digunakan oleh suami ketika menceraikan isteri atau mengatakan kepada orang lain bahawa dia telah menceraikan isterinya adalah sangat penting. Sekiranya seseorang lelaki (suami) mengatakan bahawa dirinya bujang, tidak berkahwin, tidak mempunyai isteri, atau telah berpisah dengan isteri, ia dianggap sebagai lafaz kinayah (kiasan) yang sekiranya suami berniat untuk menceraikan isterinya, maka penceraian atau talak berlaku. Seandainya dia tidak berniat untuk menceraikan isterinya, maka penceraian tidak berlaku.

Namun seandainya seorang lelaki (suami) mengatakan dengan lafaz yang sorih atau jelas contohnya "saya telah ceraikan isteri saya" atau apabila ditanya adakah dia telah menceraikan isterinya lalu dia menjawab "ya saya telah ceraikan isteri saya", walaupun dia berbohong, maka pada pandangan Jumhur Ulama mengatakan dari segi zahir ataupun undang-undang talak boleh berlaku.  

Memandangkan pihak yang berautoriti atau berbidangkuasa di dalam menentukan sesuatu penceraian itu berlaku atau tidak adalah pihak Mahkamah Syariah, maka disyorkan agar perkara ini dirujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57, memandangkan urusan pengesahan perceraian adalah merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 16

message user image