Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam
Saya ada kemusykilan dalam bab mandi wajib.
Saya niat mandi wajib semasa mula air shower kena anggota badan dan mandi biasa tanpa memastikan air rata ke seluruh badan. Semasa mandi saya sabun dan shampoo seperti biasa dan bilas sehingga sabun shampoo bersih dari badan dan ketika membersihkan sabun dan shampoo saya memastikan air rata ke seluruh badan.
Menjadi kemusykilan ketika mendengar ceramah bahawa air yang bercampur dengan sabun tidak dikira air mutlak dan mandi wajib tidak sah. Sedangkan saya mencuci sabun dan shampoo sehingga bersih dan berulang kali menggunakan air biasa.
Adakah mandi wajib saya sah dan jika tidak bagaimana dengan ibadat² saya yang lepas seperti solat dan umrah?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, hukum mandi wajib yang telah dilaksankan oleh puan adalah sah dan tidak perlu diulang semula. Hal ini kerana syarat sah mandi wajib antaranya adalah menggunakan air mutlak bukan air mutaghayyir iaitu air yang bercampur oleh benda asing seperti sabun atau shampoo. Justeru, permasalahan air mutlak yang digunakan melalui shower tidak mengapa oleh kerana sifat shower tersebut mengeluarkan air mutlak yang berterusan dan terpisah dari benda asing. Adapun yang tidak sah untuk digunakan dalam mandi wajib adalah air yang telah bercampur dengan sabun. Oleh itu, ibadah-ibadah lalu seperti solat dan umrah juga dikira sah.
Sekian, Terima Kasih