BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamulaikum W.B.T.

Saya ingin bertanya, saya mengetahui bahawa suami saya berbinkan kepada bapa saudaranya. Namun begitu, saya baru terdetik untuk mencari tahu hukum mengenainya dan saya dapati haram untuk berbinkan kepada bapa saudaranya @ ayah angkat. Saya merasakan perkara ini tersangat rumit untuk saya hadamkan dan saya faham bagi pihak suami saya dia sendiri kurang ilmu berkenaan perkara ini dan juga perkara ini berlaku bukanlah dibawah kehendak dia. 

Pertama sekali saya ingin mengetahui berkenaan status pernikahan saya bersama suami. Dan pada yang sama saya juga merisaukan adik perempuannya. Bagaimanakah dia ingin bernikah kelak? Saya juga risau untuk akan datang sekiranya suami meninggal, adakah nasabnya akan kepada ibu angkatnya seperti di dalam dokumen sijil lahir atau kami boleh mengubahnya kepada ibu kandungnya? saya risau sekiranya doa yang dibacakan tidak sampai kepadanya. 

Adakah masalah ini boleh diperbetulkan. Hukum haram dan dosa tersebut jatuh pada suami atau keluarganya? 

Saya berharap agar segala kekeliruan ini dapat diperjelaskan. saya berharap agar perkara ini tidak disebarkan untuk khalayak ramai. 

Terima Kasih. Assalamualaikum.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan:

  • Seorang anak mestilah dibinkan kepada bapa kandungnya sahaja sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran, surah al-Ahzab ayat 5:

‏ ادْعُوهُمْ لِآبَائِهِمْ هُوَ أَقْسَطُ عِندَ اللَّهِ

Maksudnya: Panggilah anak-anak angkat itu dengan ber"bin"kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah.

Kesilapan dalam berbinkan tidak mengganggu status perkahwinan. Selagi mana suami mempunyai nasab yang sah (bukan seorang yang haram dikahwini seperti adik-beradik susuan dan sebagainya), dan ta'yin (penentuan) pengantin lelaki dilakukan dengan betul ketika akad nikah, maka perkahwinan itu adalah sah.

  • Bagi adik perempuan suami yang juga berbinkan kepada bapa saudara, maka dia perlulah mendapatkan bapa kandung untuk menjadi wali nikahnya. Puan dinasihatkan untuk merujuk kepada Pejabat Agama Islam terdekat bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
  • Buat masa ini, pihak puan dan keluarga boleh membuat permohonan pertukaran 'bin' kepada pihak Jabatan Pendaftaran Negara dengan membawa dokumen-dokumen sokongan.
  • Doa yang dibacakan oleh seorang anak kepada bapanya akan sampai kepada si mati menurut hasrat orang yang berdoa, dan ia tidak semata-mata bergantung kepada nama yang disebut. Allah SWT Maha Mengetahui segala hasrat dan isi hati orang yang berdoa.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 9

message user image