Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Sy berumur 40 tahun sudah mempunyai anak 4 orang. Saya mempunyai masalah period yang tidak teratur..panjang period hampir 2 minggu..(hampir 2 tahun masalah ini)..untuk pengetahuan tuan/puan masalah ini berlaku setelah sy mengambil perancang iucd..sebelum ini ambil perancang depo (cucuk 3 bulan)..tapi masalah period tetap sama..semua mengganggu hormon..sy pernah pakai kondom still terlajak mengandung..sy tak berani ambil risiko ambil perancang ubat atas faktor umur sudah 40 tahun..saya belum rasa nak dan tak rasa nk mengandung lagi dengan umur 40 tahun..hanya mahu besarkan anak2 yg ada saja..bole ke sy ambil keputusan untuk mengikat peranakan dengan izin suami..saya dah dapat date utk warded oleh doctor utk mengikat peranakan..soalan sy apakah hukum nya saya ambil keputusan tersebut?harap pihak tuan/puan dapat beri penjelasan yg lengkap..terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan, Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke 12 yang bersidang pada 20 Februari 1977 telah membincangkan hukum Rancangan Keluarga. Persidangan telah memutuskan bahawa Rancangan Keluarga mempunyai tiga bahagian, iaitu:
Memandulkan lelaki atau perempuan hukumnya adalah haram.
Mencegahkan beranak atau menghadkan bilangan anak hukumnya adalah haram melainkan dengan sebab-sebab yang diharuskan oleh syarak bagi orang-orang perseorangan.
Menyusun keluarga dari segi kesihatan, pelajaran dan kebahagiaan keluarga dengan cara yang lain daripada (a) dan (b) di atas adalah harus.
Berdasarkan kepada keputusan di atas, hukum asal mengikat salur peranakan dengan tujuan untuk tidak mendapatkan zuriat adalah diharamkan kerana ia bertentangan dengan fitrah serta maksud hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Abu Sa’id bin Hilal bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Bernikahlah kalian, dan peramaikan bilangan kalian, kerana aku akan berbangga dengan kalian atas ramainya umatku nanti di Hari Kiamat
Adapun begitu, perbuatan mengikat salur peranakan itu boleh menjadi harus sekiranya telah mendapat keizinan daripada suami serta nasihat daripada doktor pakar muslim atas alasan kesihatan yang berkemungkinan boleh membahayakan nyawa ibu atau bayi yang dikandung jika berlaku kehamilan lagi. Antara alasan yang diterima adalah seperti kes seorang ibu yang telah menjalani pembedahan caesar tiga kali, mengalami darah tinggi teruk yang tak terkawal dan penyakit jantung tertentu. Adapun masalah period tidak teratur, atau semata-mata keinginan untuk fokus membesarkan anak bukanlah suatu alasan yang kuat melibatkan kesihatan seseorang ibu untuk mengharuskan perbuatan mengikat salur peranakan secara kekal.
Sekian. Terima kasih