BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum saya ingin bertanya. Saya terjumpa satu jawapan di laman web ini yang mengatakan hukum bagi sesorang muslim yang sudah dewasa menyimpan action figure seperti iron man begitu kerana dia suka karakter tersebut adalah harus selagi tidak berlaku isu pemujaan. Namun, pernah viral sebelum ini, Ustaz Azhar Idrus mengatakan haram bagi orang islam yang sudah baligh bagi menyimpan patung-patung begini dan hanya dibenarkan untuk kanak-kanak sahaja bagi tujuan mainan. Secara jujurnga, hal ini adalah lebih masuk akal kerana ramai orang dewasa yang islam di negara ini yang suka membuat koleksi action figure seperti watak-watak dalam avengers, ultraman, gundam dan sebagainya sebagai koleksi sehingga mereka meletakkan di dalam bekas kaca untuk dipamerkan. Bukankah perbuatan ini seperti mengagungkan patung tersebut. Sekiranya tidak mengagungkan sekali pun ia merupakan perbuatan yang tidak elok kerana mereka ini terlalu menyayangi patung tersebut hinggakan diletakkan dan dipamerkan sebegitu. Mohon pencerahan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan:

Koleksi patung figura aksi seperti watak-watak dalam avengers, ultraman, gundam dan sebagainya pada dasarnya dianggap sebagai mainan, dan mainan umumnya dikecualikan daripada larangan. Namun, sebahagian ulama berpendapat bahawa mainan yang menyerupai makhluk hidup secara tepat dan sempurna perlu dijauhi. Meletakkan patung figura aksi di tempat yang menonjol juga boleh membawa kepada sikap mengagungkannya secara berlebihan.

Secara umumnya, menyimpan patung figura aksi adalah dibolehkan selagi memenuhi syarat-syarat tertentu yang menjauhi unsur haram. Namun, adalah lebih baik untuk meninggalkan hobi ini kerana ia termasuk dalam hal-hal yang syubhah (tidak jelas hukumnya). Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Abdillah Nu’man bin Basyir RA bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

 إِنَّ الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُوْرٌ مُشْتَبِهَاتٌ لاَ يَعْلَمُهُنَّ كَثِيْرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدْ اسْتَبْرَأَ لِدِيْنِهِ وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ، كَالرَّاعِي يَرْعىَ حَوْلَ الْحِمَى يُوْشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيْهِ، أَلاَ وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى أَلاَ وَإِنَّ حِمَى اللهِ مَحَارِمُهُ أَلاَ وَإِنَّ فِي الْجَسَد مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلاَ وَهِيَ الْقَلْبُ

Maksudnya: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang. Maka siapa yang takut terhadap syubhat bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan. Sebagaimana penggembala yang menggembalakan haiwan ternakannya di sekitar (ladang) yang dilarang untuk memasukinya, maka lambat laun dia akan memasukinya. Ketahuilah bahawa setiap raja memiliki larangan dan larangan Allah adalah apa yang Dia haramkan. Ketahuilah bahawa dalam diri ini terdapat segumpal daging, jika dia baik maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika dia buruk, maka buruklah seluruh tubuh; ketahuilah bahawa dia adalah hati. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Selain itu, kegiatan menyimpan patung figura aksi ini juga membawa risiko pembaziran wang terhadap perkara yang kurang bermanfaat serta pembaziran masa yang berharga. Masa lapang sebaiknya dimanfaatkan untuk aktiviti yang lebih memberi faedah seperti kerja kebajikan, pembacaan, dan lain-lain. Harta dan masa akan dipersoalkan di akhirat kelak sebagaimana sabda Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan oleh Nadhlah bin ‘Ubaid al-Aslami RA:

‏لا تزول قدما عبد يوم القيامة حتى يسأل عن عمره فيما أفناه، وعن علمه فيما فعل فيه، وعن ماله من أين اكتسبه، وفيما أنفقه، وعن جسمه فيم أبلاه‏

Maksudnya: Tidak akan berganjak dua tapak kaki manusia pada hari kiamat sehingga dia disoal mengenai empat perkara. Mengenai umurnya, di manakah dihabiskan umurnya? Mengenai ilmunya, apakah yang sudah dilakukan dengan ilmunya? Mengenai hartanya, dari sumber manakah dia peroleh dan ke manakah dia belanjakan? Dan tubuh badannya, apakah yang sudah dia perbuat?” (Riwayat Al-Tirmidhi)

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 20

message user image