BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalam,

Saya mahu bertanya pendapat, umur saya 23. Saya bercadang untuk kahwin pada hujung tahun depan dengan pasangan saya. Tapi saya juga sudah merancang untuk kerja sehingga 2025 Dec dan seterusnya akan belajar Degree. Niat saya kahwin adalah untuk mengelakkan terjerumus ke dalam dunia maksiat. Tapi sebagai lelaki, saya faham tanggungjawab sebagai pemimpin dalam rumah tangga untuk memberikan nafkah lagi lagi perkara asas nafkaf tempat tinggal, pakaian & makanan. Saya sudah berbincang pasangan yang sekufu pemikiran bahawa mahu kahwin dan akan sambung belajar kemungkinan 4 tahun dan dia pula bekerja dalam tempoh itu, kami sudah bincang dalam keadaan yang waras dan realistik. Saya sambung belajar atas sebab mengejar ilmu dan mahu tingkatkan taraf hidup saya. Soalan saya adalah berikut

Apakah hukum jika saya tak dapat sediakan asas nafkah itu pada tempoh saya belajar mungkin akan berikan nafkah wang sahaja kerana saya akan bekerja "part time" dalam waktu belajar itu mungkin tidak banyak tetapi ada. Patutkah saya hentikan niat belajar supaya boleh sediakan asas nafkah atau kejar impian saya dahulu atau kahwin serta teruskan impian belajar saya.

Saya harap dapat jawapan yang sangat membantu kerana saya perlukan jawapan daripada sisi agama. Harap jua boleh berikan cara cara untuk mendapat hidayah daripada allah swt supaya saya dapat buat keputusan yang terbaik. 
 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, Nabi SAW bersabda:

يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ

Maksudnya: “Wahai para pemuda, Sesiapa di antara kamu telah mampu (pembiayaan) berkahwin, maka bernikahlah. Kerana nikah itu dapat menundukkan mata dan memelihara faraj (kelamin). Dan sesiapa yang belum mampu, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu dapat menjadi perisai baginya (dalam membendung syahwat)” (Riwayat al-Bukhari)

Secara umumnya, hukum seseorang yang ada keinginan untuk berkahwin terbahagi kepada tiga kategori :

1. Sunat jika mempunyai kemampuan dan mampu mengawal nafsunya daripada melakukan zina.

2. Wajib jika mempunyai kemampuan dan tidak mampu mengawal nafsunya.

3. Makruh jika tidak mempunyai kemampuan tetapi tidak boleh mengawal nafsunya.

Dalam menjawab pertanyaan saudara, perkara yang menjadi isu ialah berkaitan kerisauan saudara dari sudut kemampuan untuk menyediakan nafkah kepada isteri. Dalam Islam, seorang suami wajib memberi nafkah kepada isterinya dengan menyediakan nafkah asas secara umum seperti makanan, alat kebersihan diri dan seumpamanya mengikut kemampuannya tanpa perlu menyatakan secara khusus berapa kadarnya. Suami juga tidak wajib untuk memberi wang, ini kerana nafkah yang wajib hanyalah nafkah keperluan asas yang disenaraikan oleh ulama iaitu makanan, lauk-pauk, pakaian, alat mandian, perkakas rumah, tempat tinggal dan pembantu rumah bagi isteri yang biasa memiliki pembantu.

Menurut al-Fiqh al-Manhaji, kadar nafkah makanan asasi adalah dua cupak bagi mereka yang kaya, satu setengah cupak bagi mereka yang sederhana dan satu cupak bagi mereka yang fakir. Begitu juga, lauk-pauk, pakaian dan selainnya ditentukan berlandaskan adat setempat dengan syarat tidak bertentangan dengan hukum syara. Seorang isteri yang tinggal serumah dan makan bersama suaminya sepertimana kebiasaan yang dilakukan pada setiap hari tanpa menetapkan kadar makanan dan lauk-pauk tertentu, maka ia sudah dikira sebagai nafkah yang sesuai dan memadai bagi keluarga tersebut. Tempat tinggal pula, selagi seorang isteri sudah mempunyai tempat tinggal sama ada disewa atau dibelikan, sama ada duduk sekali atau berasingan dengan bertemu sesekali, maka itu sudah memadai dianggap sudah mampu menyediakan tempat tinggal.

Niat saudara untuk meneruskan pembelajaran walaupun sudah berkahwin adalah suatu tindakan yang baik dan kekadang ia boleh menjadi motivasi bagi yang malas belajar dan ada juga yang lebih cemerlang selepas berkahwin. Mungkin kerana hidupnya lebih terurus dan bahagia serta tahu tanggungjawab besar yang perlu dipikul. Di samping mampu menghalang diri daripada maksiat, jiwa orang kahwin pastinya lebih tenang daripada gelojak nafsu orang bujang. Fikiran lebih matang untuk memahami erti kehidupan, matlamat, tujuan dan gerak kerja akan datang. Jiwa lebih realistik berbanding dahulunya banyak yang idealistik. Namun, lumrah dan adat dalam rumahtangga ada pasang dan surutnya, oleh yang demikian petua yang paling penting, jagalah kewajiban yang telah ditetapkan syarak serta jauhkan diri dari melanggar perintah Allah, serta kuatkan munajat kepada Allah SWT. Tanggungjawab sebagai suami wajib dilaksanakan dengan sempurna, sekadar kemampuan yang dimiliki, walaupun mungkin tidak mewah tetapi yang penting cukup dan sesuai untuk isteri saudara. Kewajipan ini kalau diabaikan hukumnya adalah berdosa dan akan membawa kepada kemurkaan Allah SWT serta menghilangkan keberkataan dalam rumahtangga.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 16

message user image