Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ingin mendapatkan pandangan mengenai hukum bekerja di syarikat yang terlibat dalam perjudian atau kasino. Jika seseorang tidak terlibat secara langsung dalam aktiviti tersebut, tetapi syarikat tersebut memperoleh keuntungan daripada perjudian, adakah tindakan ini dianggap haram? Apakah nas dan dalil yang boleh dijadikan rujukan untuk situasi ini? Adakah terdapat cara untuk tetap bekerja di dalam bidang yang sama tetapi dalam kapasiti yang tidak berkaitan dengan perjudian?
Jawapan
Jika dapat diyakini secara jelas bahawa hasil atau sumber kewangan syarikat tersebut, diperolehi sepenuhnya daripada perjudian, maka tidak boleh kita terima gaji daripada hasil tersebut. Manakala bekerja di syarikat yang ada kaitan dengan perjudian secara langsung juga tidak dibenarkan kerana syarikat tersebut mendapat dana daripada perjudian itu. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah ayat 2:
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).
Berdasarkan firman Allah SWT ini dapat disimpulkan bahawa Allah SWT memberi peringatan tentang azab berat yang disediakan bagi orang yang bertolong-tolong dalam melakukan perkara dosa dan maksiat.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Mukminun ayat 51:
Maksudnya: Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh.
Berdasarkan situasi yang diterangkan, adalah dinasihatkan agar berusaha untuk mendapatkan pekerjaan lain yang sumber perniagaan dan keuntungannya adalah halal bagi mendapat keberkatan daripada Allah SWT.
Yakinlah dengan janji dan perintah Allah SWT tentang jalan keluar yang disediakan bagi orang yang benar-benar mencari keredhaan Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Talaq ayat 2 - 3:
Maksudnya: dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
Sekian, terima kasih.