BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalam Hi saya nk tanya beberapa soalan tentang jual beli. saya seorang peniaga baju terpakai(bundle).

1. apakah hukum kita jual baju fake tetapi kita sudah memaklumkan kepada pelanggan bahawa baju itu fake tetapi dia masih mahu membeli adakah duit itu halal dan dibenarkan?

2. saya menjual baju branded terpakai bolehkah saya mengambil lebih 30% keuntungan . saya ada terdengar ada yang mengatakan kita tidak boleh mengambil lebih daripada 30% keuntungan kerana ada yang mengatakan baju barang ialah asas apakah hukumnya?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan, Allah SWT telah berfirman di dalam Surah an-Nisa' ayat 29:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأۡكُلُوۤا۟ أَمۡوَ ٰ⁠لَكُم بَیۡنَكُم بِٱلۡبَـٰطِلِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil.

  1. Hukum jual beli bagi persoalan pertama ini adalah harus dan tiada masalah selagi mana pelanggan  telah dimaklumi pada peringkat awal,  bahawa pakaian tersebut bukannya original dan hanyalah tiruan. Tiada unsur penipuan di sini. Namun isu yang lebih utama adalah mengambil hak pemilik jenama yang telah didaftarkan dan ia adalah haram. Berdasarkan ayat di atas, kita dilarang daripada mengambil harta orang lain dengan cara yang batil atau salah seperti menipu dan sebagainya. Hukum membuat atau menghasilkan barangan tiruan atau copy ori yang didaftarkan sebagai hakcipta terpelihara adalah haram di dalam Islam jika ia dilakukan tanpa keizinan dari pemilik asal. Ini adalah kerana ia dianggap telah melakukan kezaliman menggunakan atau mengambil hak orang lain secara batil.

  2. Mengambil keuntungan berlipat kali ganda dalam perniagaan adalah diharuskan selagi mana tidak membawa kepada penindasan dan kezaliman. Ini kerana keuntungan itu sendiri bersifat relatif dan tidak boleh dibandingkan secara mutlak dengan harga pasaran sebelum ditolak hasil jualan itu dengan perbelanjaan yang perlu ditanggung peniaga sebelum mendapatkan keuntungan bersih. Namun digalakkan bersedekah dalam perniagaan sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

يَا مَعْشَرَ التُّجَّارِ إِنَّ الشَّيْطَانَ وَالإِثْمَ يَحْضُرَانِ البَيْعَ فَشُوبُوا بَيْعَكُمْ بِالصَّدَقَةِ

Maksudnya: Wahai para peniaga! Sesungguhnya syaitan dan dosa itu hadir dalam aktiviti jual beli. Maka sucikanlah jual beli kamu dengan bersedekah. (Riwayat Tirmizi)

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 12

message user image