Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Situasi :
Syarikat A dan beberapa syarikat lain telah mendapat jemputan untuk menyertai satu tender dari sebuah organisasi swasta.
Antara syarat yang diperlukan untuk kelayakan menyertai tender ini adalah pengalaman kerja syarikat. Oleh itu, syarikat-syarikat yang menyertai tender ini dikehendaki untuk melampirkan "Surat Tawaran Kerja (Letter of Award) yang lepas" sebagai bukti pengalaman.
Syarikat A memang berpengalaman dan pernah menjalankan kerja-kerja seperti di dalam tender tersebut namun tidak mempunyai rekod "Surat Tawaran Kerja yang lepas" untuk dijadikan bukti.
Syarikat A, telah membuat satu "Surat Tawaran Kerja yang lepas" yang palsu sebagai lampiran untuk dijadikan bukti pengalaman kerja.
Setelah proses tender selesai, Syarikat A telah berjaya memenangi tender tersebut dan telah menjalankan kerja dengan baik.
Persoalan:
1. Apakah status pendapatan Syarikat A hasil dari kerja-kerja dari tender tersebut?
2. Apakah hukum memalsukan dokumen seperti yang di buat oleh Syarikat A? (Syarikat A berpengalaman, namun pengalaman itu tidak dapat dibuktikan melalui dokumen)
Jawapan
Berdasarkan persoalan yang diajukan. Daripada Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW:
Maksud: Barangsiapa membawa pedang untuk menyerang kami, maka dia bukan dari golongan kami. Dan barangsiapa menipu kami, maka dia bukan golongan kami. (Riwayat Muslim).
Pendapatannya adalah tidak haram tetapi perbuatan yang dilakukan adalah berdosa dan perlu bertaubat kepada Allah SWT serta berazam untuk tidak mengulanginya pada masa akan datang. Pastikan pekerjaan atau tender yang diperolehi dilaksanakan dengan telus serta membantu pada jalan Allah SWT.
Firman Allah SWT telah berfirman di dalam Surah an-Nisa' ayat 29:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil.
Berusahalah agar tidak mengulangi kesilapan yang sama, bersainglah secara sihat mengikut lunas undang-undang dan syarak dalam mencari rezeki yang halal dan diberkati Allah SWT
Sekian, terima kasih