BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.
Saya ingin bertanya, saya ada terjumpa gelang emas lebih dari setahun dan masih tidak dituntut oleh pimiliknya walaupun telah diwar-warkan mengenai gelang tersebut.
Soalan saya boleh ke saya menjual gelang tersebut untuk kegunaan sendiri wang jualan tersebut?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه الأجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, ingin dijelaskan terlebih dahulu bahawa di sisi syarak barang kemas yang dijumpai tersebut digelar sebagai harta luqatah yang bermaksud barang atau harta yang bernilai (di sisi syarak), dijumpai di tempat yang tidak mempunyai pemilik dan tidak diketahui hak miliknya.

Menurut Syeikh Mustafa Bugha, harus hukumnya seseorang mengambil barang tersebut dan menjaganya. Pendapat ini selari dengan pandangan jumhur mazhab Syafi'i dan mazhab Hanafi kerana ia bersandarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda ketika ditanya mengenai luqatah:

 اعْرِفْ وِكَاءَهَا وَعِفَاصَهَا ثُمَّ عَرِّفْهَا سَنَةً فَإِنْ لَمْ تَعْرِفْ فَاسْتَنْفِقْهَا وَلْتَكُنْ وَدِيعَةً عِنْدَكَ فَإِنْ جَاءَ طَالِبُهَا يَوْمًا مِنَ الدَّهْرِ فَأَدِّهَا إِلَيْهِ 

Maksudnya: Kenalilah pengikatnya dan bungkusannya kemudian umumkan ia selama satu tahun sekiranya tidak dijumpai (pemiliknya) maka bolehlah mengambil manfaat daripadanya, sekiranya ia dituntut kembali maka kembalikanlah kepadanya (pemiliknya). (Riwayat Muslim)

Justeru, barang kemas yang dijumpai tersebut perlu dibuat hebahan melalui mana-mana platform media sosial seperti facebook, whatsapps dan lain-lain selama satu tahun dan dalam tempoh sebut iklan tersebut perlu diulang-ulang. Sekiranya masih belum dijumpai pemiliknya atau tidak dituntut dalam tempoh tertentu, maka dibenarkan untuk menggunakannya. Namun, sekiranya ia dituntut di kemudian hari, perlulah mengembalikannya semula kerana orang yang menjumpainya adalah pemegang amanah kepada harta yang dijumpainya itu. Walau bagaimanapun, sebaiknya harta luqatah tersebut diserah kepada pihak berautoriti seperti Baitulmal bagi menjamin keselamatan dan ia boleh digunakan untuk kemaslahatan umum.

Warta fatwa negeri Selangor berkaitan "Hukum Pelaksanaan, Pengurusan dan Pelupusan Harta Luqatah yang Disimpan oleh Majlis Agama Islam Selangor" yang diwartakan pada 31 Mac 2011 menjelaskan bahawa pelaksanaan pengurusan dan pelupusan Harta Luqatah adalah tertakluk kepada syarat-syarat seperti berikut:

i. Setiap Harta Luqatah yang diterima hendaklah dilaksanakan proses hebahan selama satu tahun. Sekiranya telah tamat tempoh selama satu tahun, maka bolehlah melupuskan Harta Luqatah tersebut secara lelongan dan hasil dari lelongan itu dimasukkan ke dalam Baitulmal;

ii. Harta Luqatah yang tidak mendatangkan manfaat hendaklah disimpan di tempat yang selamat;

iii. Sekiranya Harta Luqatah tersebut sama ada masih kekal atau telah dilelong atau telah dicairkan, pemiliknya berhak menuntut walau pun telah tamat tempoh hebahannya. Pihak Majlis Agama Islam Selangor hendaklah memulangkan semula sekiranya harta tersebut masih ada atau nilai barang (mengikut nilai semasa) jika telah dilelong atau dicairkan;

iv. Pemungut atau pemegang amanah Harta Luqatah harus mengenakan caj perkhidmatan yang munasabah kepada pemilik Harta Luqatah tersebut sekiranya pemilik hadir untuk memungut harta;

v. Harta Luqatah tersebut harus diserahkan kepada Baitulmal sebagai pemegang amanah. Adalah menjadi kewajipan menyerah kepada Baitulmal apabila tiada individu atau agensi yang sanggup menjadi pemegang amanah; dan

vi. Harta Luqatah tersebut menjadi milik sepenuhnya kepada pemegang amanah atau pemungut untuk dimanfaatkan kepada perkara yang tidak bercanggah dengan syarak dan ada kemaslahatan kepada umat Islam.

Untuk mengetahui lebih lanjut kaedah pengurusan dan serahan harta luqatah sila layari laman berikut: https://mais.gov.my/harta-luqatah/ 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 16

message user image