Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Situasi: Saya dan kawan-kawan makan di kafe milik bukan Islam (pork free). Tidak lama kemudian, kafe tersebut dikunjungi pelanggan yang membawa anjing. Pada ketika itulah saya sedar bahawa kafe itu pet-friendly.
Soalan: Adakah saya perlu sertu diri dan pakaian saya?
Terima kasih atas perhatian dan jawapan tuan.
Jawapan
Adalah harus seorang muslim makan di restoran bukan muslim sekiranya diyakini semua bahan mentah dan sumber yang diambil adalah halal. Bagaimanapun mengelakkan diri daripada makan di restoran bukan muslim adalah lebih baik lebih-lebih lagi jika tidak mempunyai logo halal daripada pihak berkuasa agama, kerana ia boleh menimbulkan fitnah dan syubhah.
Merujuk kepada persoalan saudari, Islam meletakkan sesuatu hukum itu adalah berdasarkan kepada sesuatu yang jelas, nyata dan yakin sahaja. Manakala bagi sesuatu yang tidak jelas, tidak nyata dan tidak yakin itu maka perkara tersebut adalah terkecuali dan tidak ada hukum. Sehubungan itu, jika kita menghukumkan sesuatu adalah bernajis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan:
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan.
Ini kerana pada asalnya, sesuatu itu tidak bernajis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka kekal bersih dan suci. Oleh itu, tidak perlu disertu diri dan pakaian saudari.
Sekian, terima kasih.