Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Talak Dan Rujuk.
Tuan/Puan, saya ingin bertanya. Adakah jatuh talak dan sah rujuk selepas dilafaz berbisik (kerana bisikan lintasan hati) begini, situasi berseorang di dapur. Hati berbisik supaya ceraikan isteri. Secara tak sengaja lidah dan bibir juga bergerak "aku ceraikan kau beserta nama" tapi tidak didengari telinga kerana bisikan terlalu halus.
Selepas buat research talak tidak jatuh, kerana tidak didengari telinga, masa itu lah was was timbul, dan hati berbisik dengar di telinga juga tapi terlalu perlahan kerana tidak mengangkat suara.
Disebabkan was was malam hari cerita situasi pada isteri, dan melakukan lafas rujuk, Aku rujuk kau kembali menjadi isteri ku semula.
Persoalan adakah jatuh talak, dan rujuk sah.
Atau talak tidak jatuh dan rujuk pun tidak sah kerana tidak tertalak.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda :
Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengampunkan umatku terhadap apa-apa yang dibisikkan kepada mereka dari perasaan was-was, ataupun monolog-monolog di dalam diri mereka selama mana mereka tidak melakukannya atau berkata-kata. (Riwayat Al-Bukhari)
Berdasarkan hadis ini, dapat difahami bahawa bisikan atau lintasan-lintasan hati atau suara-suara hati yang didengari itu tidak memberikan apa-apa kesan dan tidak dikira selagi mana tidak dilafazkan dengan kata-kata yang sempurna atau perbuatan. Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, kata-kata atau lafaz adalah bunyi perkataan yang disebut atau yang diucapkan dengan baik. Lafaz yang sempurna itu mesti diucapkan sehingga dapat didengari oleh dirinya sendiri.
Berdasarkan kenyataan dan kajian tuan, talak tidak jatuh dan tuan yakin dengan kenyataan tersebut, maka itu menjadi sandaran hukum bahawa tuan telah yakin atau mengetahui dengan pasti bahawa apa yang tuan fikirkan itu hanyalah bisikan yang tidak mengeluarkan bunyi sehingga boleh didengari oleh tuan. Adapun perasan was-was yang datang selepas itu adalah gangguan semata-mata dan tuan perlu abaikannya. Keyakinan penting kerana Islam tidak menetapkan sesuatu hukum berdasarkan rasa syak, ragu-ragu, sangkaan atau tidak pasti. Firman Allah SWT di dalam surah Yunus ayat 36:
Maksudnya: sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran.
Begitu juga kaedah fiqah yang mengatakan:
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihilangkan dengan syak (keraguan).
Oleh itu, seandainya seseorang itu tidak pasti sama ada melafazkan talak ataupun tidak, atau tidak pasti lafaz yang diucapkan itu sempurna atau pun tidak, atau dia sekadar menggerak-gerakkan bibir dan lidahnya sahaja tanpa didengari oleh dirinya sendiri, maka ia tidak membawa kepada jatuhnya talak. Bila talak tidak jatuh, maka perbuatan rujuk yang berlaku itu juga tidak diambil kira dari sudut hukum syara.
Sekian, terima kasih