BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalammulaikum,

Saya sedang menghadapi ragu-ragu yang mana beberapa hari lepas ketika saya habis mandi saya mahu ambil wuduk untuk solat tetapi ketika saya mengambil wuduk (ketika membasuh kaki) saya terasa macam terkencing. Selepas itu, saya lihat macam ada titisan air jatuh dari kemaluan saya, tetapi sampai harini, fikiran saya ternganggu sama ada air tersebut air kencing atau air mandian saya kerana saya baru sahaja lepas habis mandi pada waktu itu.
 

Boleh tolong saya untuk beri jawapan kepada saya punya keraguan kerana saya takut itu najis?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan saudara, Islam meletakkan sesuatu hukum itu adalah berdasarkan kepada sesuatu yang jelas, nyata dan yakin sahaja. Manakala bagi sesuatu yang tidak jelas, tidak nyata dan tidak yakin itu maka perkara tersebut adalah terkecuali dan tidak ada hukum. Sehubungan itu, jika kita menghukumkan sesuatu adalah bernajis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan: 

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan.

Ini kerana pada asalnya, sesuatu itu tidak bernajis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka kekal bersih dan suci. Oleh itu, jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was maka ianya kekal bersih dan suci.

Sehubungan itu, merujuk kepada terasa seakan terkencing setelah selesai mandi, maka air tersebut berkemungkinan adalah dari saki baki air mandian atau juga kemungkinannya air najis yang memang terkeluar. Ianya dapat diketahui dengan penelitian terhadap rasa dan bau air tersebut. Sekiranya yakin ianya sememangnya air kencing, maka ia perlu dibasuh dan perlu mengangkat wuduk semula. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 9

message user image