Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum kepada Pihak Panel Jabatan Mufti Negeri Selangor yang dirahmati Allah.
Izinkan Saya bertanyakan beberapa soalan untuk pencerahan bagi mencari jalan penyelesaian sebaiknya.
Almarhum abah saya baru meninggal Dunia pada 27/6/2024. Setelah kematian arwah abah, saya telah dimaklumkan oleh sepupu yang pernah duduk serumah dengan arwah abah, dimana semasa hayatnya arwah abah ada membayar hutang kepada kawannya. Tetapi sepupu tersebut tiada maklumat lengkap berkaitan berapa jumlah hutang dan siapakah pemiutang yang dimaksudkan tersebut. Dimaklumkan kepada Saya, arwah abah menerima duit pencen rm700. Sebahagian jumlahnya iaitu Rm400 untuk membayar hutang kepada kawan tersebut dan selebihnya untuk digunakan untuk perbelanjaan semasa hayatnya.
Sehingga hari ini, saya sebagai waris iaitu anaknya tiada menerima sebarang tuntutan hutang piutang daripada mana-mana pihak.
Saya ingin bertanyakan, bagaimanakah dengan status hutang tersebut?
Bolehkah dengan cara saya menginfak dimana-mana Surau/masjid/pusat tahfiz dengan niat untuk melangsaikan hutang arwah abah?
Bolehkah juga dengan cara saya membeli makanan kucing iaitu haiwan kesayangan peninggalan arwah abah dengan niat untuk melangsaikan hutang arwah tersebut.
Ini disebabkan tiada maklumat lengkap berkaitan jumlah hutang dan siapa pemiutang yang dimaksudkan.
Mohon pihak panel Jabatan Mufti Negeri Selangor membantu saya untuk menyelesaikan isu yang berkaitan ini. Terima kasih semuanya.
Jawapan
Bagi menjawab soalan yang diajukan, waris hendaklah sebaik mungkin mencari pemiutang tersebut untuk melunaskan hutang. Jika sudah berusaha dan masih tidak dijumpai, maka hutang tersebut boleh ditukar kepada sedekah mengikut jumlah hutang. Jika suatu masa pemiutang datang menuntut hutang setelah menyedekahkannya, maka boleh memaklumkan kepadanya bahawa jumlah tersebut telah disedekahkan. Jika pemiutang bersetuju, maka hutang tersebut dianggap selesai. Jika dia tidak bersetuju dan menuntut kembali hutangnya, maka hendaklah dibayar kembali hutang tersebut. Saudara juga boleh berhubung dengan pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) kerana pihak MAIS ada menyediakan perkhidmatan berhubung harta atau hutang-hutang yang tidak dituntut dan tidak dikenalpasti pemiutagnynya. Membeli makan kucing dengan niat melangsaikan hutang tidak termasuk dengan cara-cara menyempurnakan hutang tersebut kerana jelas mempunyai kepentingan peribadi.
Sekian, terima kasih.