Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya sedang mengalami satu situasi. Sebelum ini arwah ayah ada gadai emas arwah mak saya & saya. Arwah ayah pernah berjanji untuk tebus semula. Segala perbualan & perjanjian mengenai emas ini hanya antara saya dan arwah ayah tanpa ahli keluarga lain tahu dan tiada sebarang bukti yang kukuh. Hanya sekadar lisan dan mesej arwah ayah ingin tebus kembali emas tersebut. Sekarang arwah ayah telah meninggal sebelum berjaya melunaskan janji nya. Apakah status emas tersebut? dan perlukah saya menebus kembali emas tersebut? Sekiranya saya dapat tebus semula, adakah emas itu perlu di faraid sedangkan emas itu adalah hak milik saya? dan bagaimana jika saya tak berjaya menebusnya?
terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persolan yang dikemukakan, emas yang digadaikan oleh arwah ayah bukanlah milik beliau. Secara asasnya, ianya menjadi hutang arwah ayah dan emas tersebut perlulah dikembalikan pemilik asalnya kepada arwah mak puan dan puan.
Emas-emas yang telah digadaikan oleh arwah ayah hendaklah ditebus menggunakan harta peninggalan arwah ayah dan memandangkan mak puan telah meninggal dunia, emas gadaian miliknya perlu dibahagikan secara faraid.
Oleh yang demikian, puan dinasihatkan untuk berbincang bersama ahli waris yang lain bagi melangsaikan hutang arwah ayah tersebut dan pembahagian perlu dibahagikan secara telus agar dapat mengelakkan dari memakan harta secara batil. Memandangakn emas tersebut menjadi barangan gadaian maka jika puan gagal menebus emas tersebut maka ia tertakluk kepada perjanjian antara pemilik kedai pajak gadai bersama arwah ayah puan, puan boleh dapatkan penjelasan lanjut tentang status barang kemas yang digadai dengan kedai tersebut. Untuk maklumat lanjut berkaitan pembahagian harta Puan boleh ke Bahagian Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri yang terdekat bagi mendapatkan nasihat berkaitan perkara ini.
Sekian, terima kasih.