BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Ustaz. Saya nak tanya perkara kain berlubang. Bila saya balik kampung,saya akan solat guna kain pelikat/sarung di kampung. Memang kain itu yang saya guna bila saya balik kampung. Satu hari tu,ketika solat isyak, saya baru terperasan/terasa (ketika tangan saya di bahagian lutut) yang kain tersebut seperti ada lubang. Lepas solat, saya check kain tersebut memang ada lubang (kesan terkena api/benda panas). Jadi,saya solat isyak semula. Cuma nak tanya, macam mana dengan solat saya yang sebelum ini ya Ustaz? Solat saya sebelum saya tau yang kain tersebut berlubang.

Mohon penjelasan dari Ustaz


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, menutup aurat adalah salah satu syarat sah solat. Aurat bagi lelaki ketika solat adalah antara pusat hingga lutut. Oleh itu, jika terdapat bahagian aurat yang terdedah semasa solat, solat tersebut dianggap tidak sah. Sekiranya lubang itu sampai menampakkan warna kulit maka solatnya tidak sah kerana tidak sempurna syarat menutup aurat tersebut. Namun sekiranya tidak nampak warna kulit pada bahagian aurat yang wajib ditutup seperti lubang pada pakaian tersebut adalah kecil yang tidak menampakkan warna kulit maka tidaklah membatalkan solat.

Justeru, jika lubang tersebut menampakkan aurat dan tuan mengetahuinya ketika solat maka solatnya batal dan perlu diulang semula. Walau bagaimanapun, jika terbuka aurat itu berlaku setelah solat dalam keadaan terlupa atau tidak sengaja atau tidak cuai dalam menutup auratnya maka hanya disunatkan untuk mengulangi solatnya sebagai langkah keluar dari perselisihan pendapat para ulama yang mewajibkannya. Namun, selepas tuan mengetahui keadaan pakaian tersebut, pastikan aurat ditutup dengan sempurna dalam solat yang berikutnya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 8

message user image