Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam,
Untuk pengetahuan ustaz, ayah saya telah menjual sebidang tanah kepada pembeli dengan bayaran secara ansuran. Walaubagaimanapun pembeli tidak menjelaskan lagi bayaran penuh walaupun ayah saya telah meninggal dunia 9 tahun lalu dan tidak pernah membangkitkan perkara ini dengan waris-waris sejak kematian ayah. Cuma baru- baru ini kami hanya menyedari status bayaran tersebut masih belum dijelaskan.
Semakan kami sekeluarga mendapati, nama geran juga telah diubah kepada nama pembeli sejak bayaran diterima pada kali pertama.
Bagaimanakah hukum milikan islam melihat perkara ini? Adakah hakmilik tersebut telah dipunyai oleh pembeli ataupun kami sebagai waris masih boleh menuntut hakmilik memandangkan bayaran masih belum selesai dan milikan masih dipunyai ayah? Ini kerana, pembeli sedang bercadang untuk menjual tanah tersebut dan saya bimbamg kekeliruan ini boleh menimbul situasi kurang senang dikalangan ahli keluarga?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan. Berdasarkan hukum Islam, pembeli tanah tersebut masih berhutang dengan penjual meskipun geran tanah itu ditukarkan pemilikan ke atas namanya. Oleh itu, pembeli wajib menjelaskan hutang-hutang tersebut kepada waris-waris penjual yang masih hidup sebelum menjualnya. Sekiranya pembeli tersebut tidak dapat melunaskan hutang tersebut, maka waris-waris kepada pembeli bertanggungjawab melunaskannya. Namun begitu, dalam situasi ini terdapat beberapa implikasi dari sudut pentadbiran atau perundangan:
1. Seandainya jual beli antara arwah ayah dan si pembeli tersebut memiliki kontrak perjanjian secara bertulis maka ia boleh diselesaikan mengikut lunas undang-undang berkaitan perlanggaran kontrak. Namun sekiranya tiada, ahli waris boleh dapatkan nasihat daripada peguam untuk tindakan yang wajar bagi menuntut baki hutang.
2. Selain itu, sekiranya tiada dokumen kontrak pembelian tanah tersebut maka waris-waris penjual dibolehkan kaveat tanah itu di pejabat tanah untuk mengelakkan tanah itu dijual atau diapa-apakan oleh pembeli.
Kesimpulannya, segala transaksi jual beli perlu didokumentasikan sebagai pembuktian bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini. Dikhuatiri dengan ketiadaan dokumen ini, waris tidak dapat menuntut hak mereka yang sepatutnya.
Menurut hukum Islam pembeli dan waris-waris pembeli seharusnya jujur dan tahu bahawa harta tersebut masih dalam hutang walaupun telah bertukar pemilikan secara pentadbiran, dan perlu diingatkan bahawa tanah tersebut diambil secara batil dan terdapat implikasinya dari sudut hukum syarak. Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa' ayat 29:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.
Oleh itu pihak tuan dinasihatkan mendapatkan nasihat perundangan atau yang berkaitan pentadbiran harta pusaka daripada pihak berautoriti seperti Bahagian Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Pejabat Tanah berdekatan untuk mengetahui prosedur-prosedur yang berkaitan secara teliti.
Sekian, Terima Kasih.