Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam Tuan Mufti, saya nak tanya, adakah dikira paksaan dalam jual beli sekiranya saya mengatakan sebegini kepada buyer saya ' saya harap awak sudah yakin untuk membelinya sebab saya telah memberi semua yang awak nak, kalau tak saya akan anggap ni sebagai pembaziran masa sahaja' kerana perbualan tawar menawar dan pemberian pasal details barang tersebut telah meleret selama dua hari. Di bio profile saya juga saya telah mengatakan no time waster. Jadi apabila meleret selama dua hari, saya mengingatkan kepada buyer tersebut, berharap transaksi ini tak akan berakhir dengan pembaziran masa sahaja.
Adakah ini dikira pemaksaan dalam jual beli? transaksi ini berlaku sewaktu saya masih jahil lagi dalam urusan jual beli dan sekarang saya takut duitnya tidak halal kerana saya sudah menggunakan semuannya
Sekiranya jual beli tersebut tidak sah, apakah yang perlu saya buat? boleh kah saya sedekahkan seberapa wang atas nama pembeli tersebut? kerana saya sudah tidak menemui pembeli itu lagi, perbualan kami juga sudah terpadam dan tidak boleh direstore kembali. Pembeli tersebut juga sebenarnya orang luar negara, jadi saya betul2 telah buntu
Saya harap tuan mufti boleh menjawab persoalan saya ini, kerana benda ini telah menghantui saya untuk beberapa bulan
Terima kasih banyak, tuan mufti
Jawapan
Paksaan atau ikrah dalam jual beli adalah memberi tekanan yang luar biasa sehingga pembeli rasa terpaksa, tanpa ada kerelaan yang sebenar. Namun, tekanan itu mestilah dalam bentuk ancaman fizikal atau ancaman kehilangan hak yang besar.
Antara rukun dan syarat sah dalam jual beli adalah penjual dan pembeli mempunyai hak untuk memilih sama ada untuk meneruskan transaksi atau tidak. Bahkan dilarang bagi kedua-dua pihak untuk memaksa menjual atau membeli. Paksaan yang dimaksudkan adalah memaksa dalam bentuk ancaman sehingga tiada hak memilih.
Berdasarkan situasi yang diterangkan,tidak ada unsur paksaan (ikrah) dalam jual beli yang dilakukan. Transaksi tersebut sah kerana buyer membuat pilihan secara sukarela tanpa ada ancaman atau tekanan yang menghilangkan kerelaannya. Oleh itu, duit yang telah diterima adalah halal, dan tidak perlu khuatir mengenainya.
Sekian, terima kasih.