Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, nak tanyaa boleh ke saya puasa ganti dan pada masa yang sama puasa nabi Daud? Adakah digalakkan? Mana yg lebih afdal? Terima kasihhh
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, puasa Nabi Daud AS adalah berpuasa selang sehari, iaitu sehari berpuasa dan sehari tidak, dengan niat beribadat kepada Allah SWT.
Tatacara puasa Nabi Daud AS adalah sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin Amru bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya puasa yang paling Allah sukai adalah puasa Nabi Daud, dan solat yang paling Allah sukai adalah solat Nabi Daud. Baginda tidur separuh malam, bangun sepertiga malam, dan tidur lagi satu perenam daripadanya. Baginda juga berpuasa sehari dan berbuka sehari. (Riwayat Muslim)
Berbalik kepada persoalan puan, perkara ini dikenali di sisi para ulama sebagai masalah tasyrik (mengabungkan dua ibadat dengan menggunakan satu niat). Terdapat dua pandangan di sisi mazhab Syafi'i dalam membicarakan hal ini;
Pendapat pertama adalah tidak sah.
Di dalam Bughyah al-Mustarsyidin, dinukilkan pandangan Abu Makhramah bahawa;
Maksudnya: "Abu Makhramah, mengikuti pandangan al-Samhudi, berpendapat bahawa tidak sah salah satu dari kedua-duanya (puasa qadha dan puasa sunat enam hari Syawal) jika seseorang berniat kedua-duanya sekaligus, seperti halnya seseorang yang berniat melakukan solat Zuhur dan solat sunatnya secara serentak". (Rujuk Bughyah al-Mustarsyidin 3/95-96)
Manakala pendapat kedua adalah sah. Imam Ramli berkata:
Maksudnya: “Bahawa berhasil puasa qadha Ramadhannya walaupun dia menggabungkan niat puasa qadha Ramadhannya dengan puasa yang lain. Dan berhasil pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal. Masalah ini disebut oleh ramai ulama terkemudian (muta'akkhirin).” (Rujuk Fatawa Imam Ramli, 2/66)
Rumusan daripada perbahasan ini adalah diharuskan menggabungkan niat qada' puasa dan puasa sunat Nabi Daud. Namun sebaiknya lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardhu dan sunat) secara berasingan seperti pandangan muktamad Mazhab al-Shafi'i, bagi lebih berhati-hati (ahwat) dalam ibadat, serta melakukan ibadat dengan yakin adalah lebih utama (aula).
Sekian, terima kasih.