Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Sekadar inginkan kepastian, jika kita tertinggal satu waktu solat wajib, adakah kita perlu mendahulukan qada solat atau sebaliknya?
Contohnya, telah tiba azan maghrib tetapi solat asar belum dikerjakan, perlu solat maghrib dulu kemudian qada solat asar, atau dahulukan qada asar?
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, kami nukilkan pandangan Imam al-Ramli dalam kitab Nihayah al Muhtaj yang menjelaskan seperti berikut:
Maksudnya: Dan disunatkan mendahulukan solat qadha’ yang luput waktu dengan segera sebagai usaha bara’ah al-zimmah (membebaskan diri dari tanggungannya) kerana uzur syar’ie seperti tertidur atau lupa, dan secara wajib jika ia terluput tanpa uzur sebagai penyegeraan bara’ah al-zimmah".
Sambungnya lagi,
Maksudnya: "Dan disunatkan mendahulukan solat yang terluput ke atas solat fardu tunai yang tidak dikhuatiri akan habis waktunya." (Rujuk Nihayah al-Muhtaj, 1/381)
Oleh itu, disunatkan untuk mendahulukan solat qadha' (Solat Asar) terlebih dahulu dalam waktu solat Maghrib sekiranya waktu solat Maghrib itu masih panjang.
Sekian, terima kasih