Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum En/Pn,
Maaf nak bertanya, saya sebagai anak beli barang kemas untuk emak. Auto barang kemas tu jadi kepunyaan emak. One day misal kata emak meninggal dunia, barang kemas tersebut jadi faraid terus ke? atau kita boleh tuntut balik ke sebab saya yang belikan untuk emak?
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.
Secara umumnya, pemilikan barang kemas tersebut telah sah menjadi hak milik bagi si ibu. Seandainya si ibu telah meninggal dunia, maka segala hartanya termasuk barang kemas yang dihadiahkan oleh tuan berubah menjadi status harta pusaka. Oleh itu, sesuatu harta pusaka perlu diuruskan secara baik mengikut panduan syarak. Syarak menetapkan faraid sebagai langkah pembahagian harta perwarisan yang wajar dilaksanakan antara waris yang masih hidup. Justeru, tuan tidak boleh menuntut semula barang kemas tersebut melainkan terdapat bukti bahawa ia dihibahkan kembali kepada tuan.
Sekian, Terima Kasih.