Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Terima kasih kerana menyediakan platform ini. Saya ada beberapa soalan untuk diajukan dan mohon maaf jika sedikit panjang.
Saya ada dengar ceramah tentang doa over umat akhir zaman dan kaitan dengan kisah doa anak Saad bin Abi Waqas yang menyarankan agar tidak terlalu spesifik dalam doa, kerana Allah tahu apa yang terbaik. Namun, saya juga mendengar ceramah yang menyatakan bahawa kita harus berdoa untuk perkara yang great and bold, kerana Allah menerima permintaan yang besar.
1. Pencerahan tentang Doa
Saya mengalami dilema tentang bagaimana seharusnya saya berdoa dan apa adab yang betul. Jika saya berdoa secara umum, adakah itu menunjukkan saya tidak berusaha atau tidak yakin dengan apa yang saya mahukan? Sebaliknya, jika saya berdoa secara spesifik, adakah itu menyebabkan doa saya tidak diterima dan tergolong dalam doa umat akhir zaman? Contohnya: "semoga aku dapat kerja di x" vs. "semoga aku dapat kerja di syarikat x dengan gaji x dalam bidang x."
2. Doa untuk Seseorang
Adakah benar jika kita sentiasa berdoa untuk seseorang, itu adalah petunjuk bahawa Allah meletakkan perasaan dan kehendak tersebut dalam hati kita, walaupun orang itu sudah berubah hati dengan kita? Atau adakah itu hanya hasutan untuk menjadikan kita terikat kepada seseorang? Kita seharusnya hanya mencintai Allah. Adakah berdoa setiap hari untuk seseorang itu akan mewujudkan perasaan attachment, sedangkan kita tidak boleh terikat kepada duniawi? Contoh: tahajud dan solat hajat setiap hari untuk berdoa tentang dia.
3. Tindakan Perempuan yang Menyukai Seseorang
Apa yang boleh dilakukan oleh perempuan jika dia menyukai seseorang? Jika kami tidak boleh meminang si dia, apakah ikhtiar yang sepatutnya dilakukan? Adakah kami hanya boleh tunggu dan berdoa agar dia lembut hati dan membuka hati untuk menyukai kami dan mengajak kahwin?
4. Doa untuk Perubahan Seseorang
Bolehkah saya berdoa semoga dia berubah? Adakah doa itu tidak mendatangkan hasil kerana untuk seseorang berubah, dia sendiri harus mempunyai perasaan itu? Allah tidak akan memaksa hamba-Nya dengan perkara yang tidak mereka mahu. Adakah berdoa agar dia berubah bertentangan dengan kehendak bebasnya? Saya sedar kenapa kami dipisahkan kerana semakin jauh dari Sang Pencipta. Bolehkah saya berdoa agar dia sedar dan mendapat hidayah untuk kembali ke jalan Allah?
5. Doa yang terdesak
Saya ada membaca bahawa kita tidak boleh berdoa dalam keadaan terdesak kerana ia mungkin akan menjauhkan lagi apa yang kita mahu. Contohnya, "Ya Allah, aku sedar salah silapku yang lepas. Berikanlah aku peluang untuk berubah dan satukan kami semula dalam ikatan yang sah." Adakah ini benar?
6. Doa melembutkan hati seseorang
Bolehkah saya percaya dan amalkan doa-doa yang dikongsikan di media sosial tentang melembutkan hati seseorang?
Terima kasih kerana sudi menerima soalan-soalan saya. Saya semakin buntu dan semalam, selepas solat, saya menangis kerana tidak pasti dengan apa yang patut saya lakukan dan percayai. Adakah saya perlu terus berdoa? Adakah doa saya salah? Saya tidak mahu menjadi sesat atau melakukan usaha yang sia-sia. Oleh itu, saya mohon pencerahan dari sumber yang sahih.
Jawapan
Bagi menjawab soalan yang diajukan:
1. Antara adab berdoa adalah berdoa dengan seikhlas hati. Doa dimulai dengan Bismillah, pujian-pujian kepada Allah SWT dan selawat kepada Nabi Muhammad SAW. Digalakkan juga membaca Surah al-Fatihah sebelum memulakan doa. Berdoalah dengan penuh khusyuk dan merendah diri kepada Allah SWT. Hadirkan dalam diri rasa kehambaan dan meninggikan Allah SWT semasa berdoa. Tiada masalah untuk berdoa meminta perkara yang umum atau meminta hajat yang khusus. Ini kerana, yang penting adalah berdoa dan hanya berharap kepada Allah SWT.
2. Perasaan minat atau tertarik kepada seseorang adalah fitrah semula jadi manusia. Mendoakan seseorang dengan ikhlas mungkin disebabkan perasaan sayang kepada orang tersebut. Tiada masalah dan tiada larangan untuk mendoakan kebaikan kepada orang lain. Juga tiada larangan untuk mengasihi dan mencintai orang lain. Mencintai seseorang tidak menafikan sayang dan cinta kita kepada Allah SWT.
3. Seorang wanita yang meminati seseorang lelaki, boleh sahaja meluahkan perasaan kepada lelaki tersebut dengan syarat niat untuk berkahwin. Wanita boleh meminta kepada pihak atau wakil lelaki untuk meminang wanita tersebut. Jika lelaki tersebut enggan, tiada masalah untuk berdoa supaya hatinya dilembutkan juga. Dalam masa yang sama, buatlah solat istikharah dan mohonlah kepada Allah petunjuk akan perkara ini.
4. Mendoakan kebaikan kepada seseorang supaya orang tersebut berubah juga adalah ketentuan dan kehendak Allah SWT. Tiada masalah mendoakan seseorang supaya berubah kepada kebaikan. Penentuan seseorang itu berubah atau tidak adalah atas ketentuan Allah SWT. Yang dituntut ke atas kita adalah berdoa. Hasil doa tersebut adalah urusan Allah SWT.
5. Tiada masalah untuk doa dalam keadaan terdesak. Berdoalah dalam setiap masa dan keadaan dengan syarat menjaga adab-adab berdoa.
6. Tiada masalah untuk mengamalkan apa-apa doa yang baik.
Sekian, terima kasih.