Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam tuan mufti,
Saya hendak bertanya tentang najis mughallazah.
Pada beberapa minggu lepas, saya melalui kawasan kedai-kedai untuk menuju ke stesen keretapi. Dan beberapa kedai yang dilalui saya merupakan kedai makan non-muslim yang ada menjual daging babi. Semasa berjalan itu, secara kebetulan pekerja di situ sedang membakar daging di luar, lalu asap hasil membakar itu terkena saya untuk beberapa saat. Setelah itu saya menukar laluan saya untuk melalui jalan luar untuk mengelakkan kedai-kedai tersebut.
Saya pernah mendengar ceramah bahawa asap hasil pembakaran daging babi adalah tidak haram melainkan ia melekat pada kita. Asap hasil pembakaran itu cuma terkena pada saya untuk beberapa saat, jadi saya tidak pasti jika terkena pada baju saya atau tidak, tetapi pada masa itu muka saya berminyak kerana sudah berpeluh sepanjang hari.
1. Jadi adakah saya dikira sudah terkena najis mughlazah?
2. Saya juga ada mengelap peluh di muka saya dengan pakaian saya, jadi adakah pakaian saya menjadi mutannajis juga?
3. Jika sejurus itu pakaian saya dicuci dengan pakaian lain, bagaimana? Adakah saya perlu menyertu kesemua benda?
4. Jika saya dikira dalam keadaan terkena najis mughalazah (kerana semestinya saya ada menyentuh muka saya), bagaimana dengan barang-barang yang saya sentuh sebelum saya sertu?
Harap pihak tuan boleh memberi penjelasan untuk masalah saya. Saya merupakan seorang yang waswas tentang isu najis, apatah lagi najis mughalazah. Untuk beberapa hari ini, saya menyedapkan hati saya dengan mengatakan tidak terkena najis kerana asap yang sedikit. Tetapi bila teringatkan muka saya dalam keadaan basah, perasaan waswas itu datang kembali. Saya juga menyedapkan hati saya bahawa saya boleh mengikuti mazhab lain bahawa boleh menyucikan terkena babi dengan air mutlak sahaja, hal ini kerana waswas saya yang sangat teruk. Saya rasa macam nak gila memikirkan perpindahan najis yang berkemungkinan berlaku.
Terima Kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, dalam Islam, penyucian dari najis berat (seperti najis babi) hanya diperlukan apabila ada kontaminasi secara fizikal. Sebagai contoh, jika daging babi terkena pakaian atau kulit, barulah seseorang itu perlu melakukan proses penyucian (sertu), iaitu mencuci dengan air mutlak sebanyak tujuh kali, salah satunya menggunakan air bercampur tanah. Tetapi jika hanya terkena asap, tidak ada kewajiban untuk mencuci pakaian atau badan dengan cara khusus, kerana tiada najis fizikal yang terkena pada tubuh atau pakaian. Dalam fiqh, asap dianggap sebagai unsur yang tidak fizikal, ia hanyalah gas yang terbentuk daripada pembakaran bahan, termasuk daging babi. Oleh kerana ia tidak mempunyai bentuk fizikal atau sisa yang dapat dilihat atau disentuh, maka ia tidak dikira sebagai najis.
Oleh itu,
1. Saudari tidak terkena najis mughallazah, kerana asap tidak dianggap sebagai najis.
2. Pakaian saudari juga tidak bernajis kerana tiada najis pada muka saudari.
3. Tidak menjadi satu kesalahan jika mencuci pakaian tersebut dengan pakaian yang lain. Saudari tidak perlu sertu semua benda yang terkena kepada pakaian tersebut.
4. Saudari tidak berada di dalam keadaan terkena najis mughallazah. Barang-barang yang disentuh juga tidak perlu di sertu kerana tiada najis pada diri saudari.
Sekian, terima kasih.