Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
assalamualaikum.
mohon bertanya, sekiranya suami ceraikan isteri, hukum tidak membenarkan isteri keluar dari rumah. sekiranya suami tidak mampu untuk keluar tinggal di tempat lain dan terpaksa tinggal bersama dlm waktu iddah, jadi suami tidak dibenarkan mendekati isteri melainkan rujuk, betul? sekiranya rumah yg kami diami ada satu bilik shj, dan segala pakaian dan brg ada di dalam bilik yg isteri duduk sewaktu dalam iddah, bolehkan suami masuk?
Dan bagaimana selepas tempoh iddah dah selesai? adakah isteri kena simpan duit untuk berpindah selepas 3 bulan? kalau tidak mampu utk menyewa tempat lain, apa perlu buat ya? mohon diberi pencerahan. terima kasih.
Jawapan
Berdasarkan keterangan puan, oleh kerana rumah yang didiami mempunyai satu bilik, bekas suami sepatutnya yang keluar dari rumah dan membenarkan bekas isteri yang sedang beriddah tinggal di rumah tersebut. Ini kerana jika kedua-duanya masih tinggal di rumah yang sama, boleh menimbulkan fitnah dan khalwat. Jika ingin tinggal bersama, pastikan mempunyai mahram, rumah tersebut mempunyai bilik berasingan atau tingkat berlainan. Adapun, hukumnya adalah makruh.
Setelah tamat iddah, bekas suami dan bekas isteri tidak boleh tinggal bersama di rumah tersebut. Haram hukumnya. Salah seorang perlu mencari kediaman lain. Jika tidak mampu menyewa sesebuah rumah, usahakan menyewa sebuah bilik atau berkongsi menyewa sebuah rumah yang penyewanya adalah orang-orang bujang.
Sekian, terima kasih.