BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Persoalan saya berkenaan zihar.
Saya isteri tinggal bersama keluarga kecil saya dan ibu mertua.
Situasi: Saya dandan rambut / menukar gaya rambut. Tiga hari selepas itu, ibu mertua pergi buat dandanan rambut.
Selepas ibu mertua pulang, saya melihat rambut ibu mertua, terdetik dihati saya (eh sama macam rambut saya) mungkin paras potongnya sama, tapi perkataan itu terpancul dari mulut suami.
Suami berkata seperti ini ~~
sama macam rambut lia/dah sama macam rambut lia/macam rambut lia dah (saya tidak dapat ingat setepatnya butiran perkataan yang keluar dari mulut suami tapi adalah seperti yang dinyatakan).
Persoalan saya, adakah ini zihar atau tidak? Jika ya, apa langkah yang perlu saya/suami ambil.
Mohon bantuan dan pencerahan.
Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Secara ringkasnya, zihar mempunyai dua bentuk lafaz iaitu lafaz sarih dan lafaz kinayah. Lafaz sarih jika diucapkan si suami maka serta merta berlaku zihar. Lafz kinayah pula jika dilafazkan si suami, maka ia tergantung niat suami. Jika niatnya untuk memuliakan, maka tidak berlaku zihar. Jika niatnya zihar atau talak maka berlaku zihar.

Lafaz sarih adalah apabila menyamakan anggota aurat atau anggota badan bahagian zahir isteri yang merupakan bahagian istimta’ (bersuka-suka) dengan badan mahram atau anggota istimta’ (bersuka-suka) mahramnya.

Lafaz kinayah pula adalah menyamakan isteri dengan mahramnya pada anggota badan yang melambangkan kemuliaan. Contohnya bahagian dalaman seperti hati, limpa, buah pinggang dan lain-lain. Juga bahagian badan yang boleh terpisah seperti susu badan, mani, suara, rambut dan lain-lain lagi.

Berdasarkan situasi yang diterangkan, lafaz yang diucapkan si suami adalah lafaz kinayah. Maka ia perlu dilihat kepada niat si suami. Walaupun begitu, menurut uruf setempat di Malaysia, lafaz tersebut kebiasaannya tidak termasuk dalam zihar kerana konteks lafaz tersebut berbeza dengan konteks yang diamalkan oleh orang Arab khususnya masyarakat Jahiliah. Mereka menyamakan anggota isteri mereka dengan mahram untuk tujuan perceraian berbeza dengan masyarakat kita yang mengungkapkannya untuk perbualan seharian.

Sebagai langkah berhati-hati, lafaz seumpama itu perlu dielakkan agar tidak timbul keraguan dalam diri. Selain itu, puan boleh merujuk kepada mahkamah syariah bagi mendapatkan kepastian berkenaan isu ini.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

                                                                                                                           


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 11

message user image