Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum tuan/puan,
Saya mempunyai sedikit kemusykilan tentang hukum faraid. Sebelum saya bertanya lebih lanjut saya ingin membuat penerangan sedikit.
Begini, ibu dan ayah suami membeli rumah kos rendah dan unit tersebut berada di tingkat 3. Pada masa suami juga membeli rumah yang sama tetapi unit bawah dan berlainan blok. Ibu dan ayah meminta suami utk bertukar rumah kerana suami mendapat unit di bawah. (Unit rumah diperolehi melalui sistem undian)Suami setuju kerana kasihankan kepada kedua ibu bapanya.. tetapi Masing2 membayar loan rumah masing2.
Setelah ayah suami bersara dan tidak mempunyai pendapatan, ayah/ibu meminta anak perempuannya tolong sambung bayar. Ibu suami berjanji selesai habis bayar rumah tersebut menjadi milik beliau.
Selesai habis bayar rumah ayah, anak perempuan menuntut hak beliau. Namun dia berkehendakkan rumah yg ayah /ibu duduk di mana rumah tersebut milik suami. Suami juga ada mengatakan sesudah habis bayar loan beliau bersetuju utk menukar nama, rumah yg diatas akan menjadi milik suami manakala rumah bawah menjadi milik anak perempuan.
Namun, pertukaran nama tidap dpt dilakukan disebabkan batasan masa dan wang. Kemudian ayah suami meninggal . Tidak lama lepas itu anak perempuan ingin menjual rumah suami dgn anggapan sudah menjadi milik dia tetapi ibu tidak bersetuju kerana masih duduk di situ.. unit rumah atas telah disewakan sebagai sumber pendapatan suami sebelum ayah meninggal lagi.
Anak perempuan telah marah dan merajuk dan telah memutuskn silaturrahim. Kerana beranggapan telah menidakkan haknya.
Soalan saya:
1. Apakah hak anak perempuan terhadap harta ayah suami kerana ibu berjanji utk memberikan kepadanya jika dia sudah habis bayar. Ibu seakan menarik balik pemberiannya kerana anak perempuan tidak lagi menghiraukannya dan ibu ingin faedah drp rumah tersebut utk kelangsungan hidupnya cth hasil sewa rumah.
2. Perlukah sewa rumah tersebut difaraidkan (bhgn ayah) kerana suami beranggapan sewa tersebut merupakan milik dia kerana dia kerugian tidak dpt sewakan rumahnya kerana ibu masih duduk di rumah tersebut. Dan perkara ini dipersetujui oleh ibu /ayah suami kerana mereka telah bertukar rmh.
3. Ibu dan suami bercadang utk menjual rumah milik ibu dan ayah dan membayar ganti rugi anak perempuan sebanyak mana yg telah anak perempuan keluarkan utk membayar loan dan balance di bahagikan secara faraid. Namun anak perempuan menuntut keseluruhan rumah tersebut. Apa yg perlu dilakukan utk masing2 mendapat hak masing2.
Sekian, terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan dan penerangan fakta kes yang telah diterima, pihak puan bolehlah merujuk sebagaimana berikut :
Soalan 1 : Apakah hak anak perempuan terhadap harta ayah suami kerana ibu berjanji untuk memberikan kepadanya jika dia sudah habis bayar. Ibu seakan menarik balik pemberiannya kerana anak perempuan tidak lagi menghiraukannya dan ibu ingin faedah daripada rumah tersebut untuk kelangsungan hidupnya contohnya hasil sewa rumah.
Jawapan 1 : Rumah yang diduduki ibu dan bapa itu adalah milik sepenuhnya anak perempuan kerana merujuk penerangan puan, ibu dan bapa telah meminta anak perempuannya membantu sambung bayar dan berjanji sekiranya telah selesai pembayaran rumah tersebut akan menjadi milik beliau. Di tambah pula, anak perempuannya telah selesai membayar pinjaman rumah sebagaimana yang telah dijanjikan.
Soalan 2 : Perlukah sewa rumah tersebut difaraidkan (bahagian ayah) kerana suami beranggapan sewa tersebut merupakan milik dia kerana dia kerugian tidak dapat sewakan rumahnya kerana ibu masih duduk di rumah tersebut. Dan perkara ini dipersetujui oleh ibu /ayah suami kerana mereka telah bertukar rumah.
Jawapan 2 : Manfaat rumah sewa suami yang di tingkat 3 tidak perlu dibahagi secara faraid kerana ianya adalah milik suami puan. Suami puan telah pun bersetuju membuat pertukaran rumah bersama bapanya walaupun tidak sempat membuat pertukaran nama di dalam hak milik.
Soalan 3 : Ibu dan suami bercadang untuk menjual rumah milik ibu dan ayah dan membayar ganti rugi anak perempuan sebanyak mana yang telah anak perempuan keluarkan untuk membayar loan dan balance di bahagikan secara faraid. Namun anak perempuan menuntut keseluruhan rumah tersebut. Apa yang perlu dilakukan untuk masing2 mendapat hak masing2.
Jawapan 3 : Rumah yang diduduki ibu tersebut bukanlah kategori harta pusaka arwah ayah yang perlu dibahagi secara faraid kerana ia dimiliki oleh anak perempuan sebaik sahaja dia selesai membuat pembayaran (seperti dalam jawapan 1). Sekiranya Ibu dan suami bercadang untuk menjual rumah tersebut, maka perlulah mendapat persetujuan dan muafakat anak perempuan terlebih dahulu memandangkan secara dasarnya, rumah tersebut telah dijanjikan menjadi milik anak perempuan sepenuhnya.
Oleh yang demikian, rumah yang diduduki ibu itu tidak dikategorikan sebagai harta pusaka arwah bapa dan tidak perlu dibahagikan secara faraid kepada waris yang lain. Dinasihatkan agar pihak puan membuat perbincangan secara damai bagi mengelakkan memakan hak secara batil. Segala kemusykilan berkaitan harta pusaka, pihak puan bolehlah merujuk ke Bahagian Harta Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor di talian 03-5514 3773.
Sekian, terima kasih.