Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Jika pegawai pihak berkuasa ditugaskan utk melupuskan ayam hidup yg dirampas dari kedai yang menyalahi undang-undang, halal kah ayam tersebut dimakan setelah disembelih?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, dalam isu ini hendaklah dilihat dari aspek hukum dan undang-undang setempat. Contohnya, jika pegawai yang bertugas membuat rampasan terhadap ayam hidup atas kesalahan tertentu, maka harta rampasan tersebut adalah berada di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan. Jika bayaran denda dibuat dalam tempoh tertentu menyebabkan barang rampasan dipulangkan semula, maka ia tidak boleh dimakan kerana masih menjadi milik penjual.
Walaupun pihak berkuasa berhak menyita dan mengenakan denda kepada peniaga yang melanggar undang-undang. Namun tanggungjawab tersebut hendaklah dilaksanakan secara adil, berhikmah serta budi bicara tanpa mementingkan kepentingan peribadi. Jika tiada halangan undang-undang untuk pegawai pihak berkuasa untuk mengambil manfaat daripada barang rampasan tersebut, maka pegawai harus memanfaatkannya. Namun menyerahkan kepada pihak lain yang lebih memerlukan adalah lebih baik dan jauh daripada fitnah.
Sekian, terima kasih.