Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ingin mengajukan beberapa soalan.
1) Jika seseorang itu tidak ikhlas solat, sebagai contoh malas untuk bangun solat subuh kerana mengantuk, dia boleh meninggalkan solat tersebut kerana Allah tidak memilihnya untuk mengerjakan solat subuh pada ketika itu.
2) Adakah perilaku buruk seseorang, contohnya berjudi, meninggalkan perintah Allah, boleh dikatakan takdir yang telah Allah tetapkan di dalam hidupnya. Jika belum sampai masanya untuk berubah, maka dia tidak akan berubah.
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan:
1) Bermalasan dalam melaksanakan solat bukanlah sikap bagi seorang muslim yang bertakwa. Maka tidak sepatutnya mengatakan bahawa meninggalkan solat adalah disebabkan ketentuan Allah SWT dan perbuatan itu dianggap salah kerana Allah SWT telah meletakkan pilihan dan usaha untuk hambaNYA melakukan taat atau maksiat. Firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi ayat 29:
Maksudnya: Dan katakanlah (wahai Muhammad): Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya.
Secara umum ayat ini menekankan bahawa manusia diberikan pilihan jalan keimanan dan ketaatan, serta jalan ingkar dan maksiat. Allah memberi kebebasan kepada manusia untuk memilih, tetapi pilihan ini datang dengan tanggungjawab terhadap apa yang telah mereka pilih.
Seorang mukallaf tidak wajar menggunakan alasan "Allah tidak memilihnya untuk mengerjakan solat" kerana solat merupakan tanggungjawab dan suatu kewajipan ke atas setiap orang Islam yang baligh serta berakal, maka adalah berdosa jika seseorang yang memenuhi syarat-syarat tersebut meninggalkan solat itu dalam keadaan lalai dan sengaja. Oleh itu, wajib baginya menggantikan solat yang ditinggalkan itu. Rasa malas atau kurang bermotivasi bukan alasan syarak yang membolehkan seseorang untuk meninggalkan solat. Sebaliknya, rasa malas adalah ujian kepada niat dan keimanan seseorang. Jika seseorang itu tanpa sengaja tertidur sehingga terlepas waktu solat maka dia boleh mengerjakannya apabila dia terjaga berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Jika seseorang daripada kamu tertidur atau terlupa untuk mengerjakan solat, maka hendaklah dia menunaikannya apabila dia teringat (terjaga dari tidur), kerana sesungguhnya Allah berfirman: 'Dirikanlah solat untuk mengingati-Ku. (Riwayat Muslim)
2) Secara zahirnya, memang benar bahawa takdir seseorang itu sama ada baik dan buruknya telah ditetapkan oleh Allah SWT sejak azali lagi. Namun begitu, ianya bukanlah menjadi satu tiket untuk seorang hamba itu menyandarkan segala yang buruk kepada Allah SWT seperti berjudi atau meninggalkan perintah Allah. Hal ini kerana manusia masih diberi pilihan diberi pilihan untuk memilih perkara yang baik atau buruk sebagaimana yang telah disebutkan di atas (surah al-kahfi ayat 29).
Di samping itu, Allah SWT bersifat dengan Maha Adil iaitu dengan memberi pilihan kepada hambaNya untuk memilih jalan yang diingini sama ada jalan ke syurga atau ke neraka tetapi dalam masa yang sama Allah SWT mengetahui pilihan yang akan dibuat oleh manusia itu berdasarkan kepada sifat Maha Mengetahui Allah SWT. Hal ini ada dinyatakan melalui Firman Allah SWT dalam surah al-Syams ayat 8:
Maksudnya: Serta (Allah SWT) mengilhamkannya iaitu manusia (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan dan yang membawanya kepada bertaqwa.
Secara umum ayat ini menerangkan bahawa Allah telah memberi ilham kepada jiwa manusia untuk mengenali kefasikan (perkara buruk) dan ketakwaan (perkara baik). Ini merujuk kepada pemahaman dan pilihan yang dikurniakan kepada manusia untuk menilai serta memilih antara ketaatan dan kemaksiatan. Menurut Imam Al-Tabari, ayat ini menunjukkan bahawa Allah tidak menetapkan kepada manusia secara mutlak untuk satu jalan (baik atau buruk) tetapi memberi kemampuan untuk manusia memilihnya melalui akal dan kehendak mereka. Oleh itu, manusia diberi kebebasan, dan mereka bertanggungjawab atas pilihan tersebut.
Berdasarkan pandangan ulama seperti Mujahid dan Ibn Abbas, tafsiran ini menekankan konsep "بَيَّنَ الخيرَ والشرَّ," yang bermaksud Allah memperjelaskan pilihan antara baik dan buruk kepada manusia. Sehingga pilihan yang dibuat atas tindakan mereka adalah milik mereka, walaupun setiap tindakan tersebut diketahui dan diizinkan oleh Allah dalam takdir-Nya. Tafsiran ini disokong oleh pemahaman bahawa ilham kefasikan dan ketakwaan yang dimaksudkan di sini bukanlah paksaan, tetapi lebih kepada bimbingan tentang jalan yang wujud di depan manusia untuk mereka pilih.
Begitu juga, Islam menyuruh agar penganutnya untuk mengajak melakukan ketaatan dan kebaikan serta menjauhi segala perbuatan maksiat dan dosa. Firman Allah SWT dalam surah ali-Imran ayat 104:
Maksudnya: Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru pada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar.
Oleh itu, pilihlah untuk sentiasa menjalankan perintah yang telah Allah SWT wajibkan ke atas setiap orang Islam dan tinggalkan segala yang telah Allah SWT larang kerana akhirnya setiap manusia akan dipersoalkan atas setiap pilihan yang dibuat.
Sekian, terima kasih.