Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum, Tuan Mufti.
Mohon pencerahan.
Pada setiap hujung tahun, Syarikat saya akan mengadakan majlis makan malam. Namun, majlis makan malam ini disertai bukan sahaja pekerja Islam, malah perkerja bukan Islam turut serta. Pihak pengurusan juga terdiri dari kebanyakan bukan Islam.
Yang menjadi isu adalah, pada awal perasmian majlis sesi "minuman arak" oleh pihak atasan. Acara perasmian diadakan iaitu dengan beramai-ramai mengatakan "cheers" dan disambutkan oleh para pekerja. Namun, arak ini hanya dihidangkan dimeja majikan bukan Islam sahaja. Muslim tidak dihidangkan sama sekali. Isu ini telah ditekankan pada pihak terlibat, kerana pada tahun lepas dan tahun ini terdapat banyak para pekerja Islam memgambil insiatif tidak memghadiri bertepatan dengan Irsyad hukum ke-224 dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Tetapi, menyedihkan maklum balas dari pihak terlibat yang Islam sendiri menyatakan:
1. Islam itu mudah jangan disusahkan dengan isu ini
2.Terpulang pada pihak pekerja sendiri untuk hadir atau tidak
3.Ikutlah pandangan ahli ulamak, mungkin sebahagian membenarkan
4.Terdapat banyak mahzab. Jangan hanya berpegang pada satu fatwa yang tidak membenarkan.
Mohon pencerahan.
Terima kasih.
Jawapan
Majlis yang ada dihidangkan arak adalah majlis maksiat dan berdosa bagi orang yang hadir padanya kerana ia dianggap bersetuju dengan perkara maksiat yang sedang berlaku.
Tidak memenuhi jemputan ke majlis yang bercampur dengan perkara yang diharamkan adalah perkara yang dituntut dalam Islam kerana dapat menjauhkan seseorang yang beragama Islam daripada fitnah dan terpengaruh dengan perkara yang diharamkan. Menormalisasikan perkara yang diharamkan di dalam sesuatu majlis yang melibatkan pekerja yang beragama Islam merupakan suatu usaha yang dapat mengikis jatidiri seseorang Islam.
Terdapat hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan juga hari akhirat, maka janganlah dia duduk pada hidangan yang dihidangkan padanya arak.
(Riwayat al-Tirmizi)
Dinasihatkan jika ada peluang untuk menjelaskan kepada pihak majikan, tentang hukum orang Islam terlibat didalam aktiviti arak atau penganjuran majlis yang melibatkan minuman arak bolehlah saudara jelaskan kepada mereka secara berhikmah. Jika terdapat halangan semasa menjelaskan kepada mereka, maka hati saudara tidak sekali-kali redha dengan hal yang sedemikan, itulah selemah-lemah Iman.
Sekian, terima kasih