BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ada terbaca bahawasanya suci pakaian yang terkena najis yang dibasuh dengan mesin basuh melalui jawapan pihak tuan/puan di pertanyaan yang ada di internet Dan saya menjumpai kajian tidak silap satu universiti tempatan mengenai Hal ini.

Saya mempunyai satu keraguan, Ketika di meletakkan pakaian Kotor ke dalam beg untuk dibawa ke dobi layan diri, seingat saya, saya ternampak kesan seperti berwarna coklat yang tidak pekat warnanya di seluar dalam, tidak pasti seluar dalam ibu atau Nenek saya. Saya mulai was was namun teringatkan akan kajian yang telah dilakukan bahawasanya suci pakaian bernajis yang dibasuh di dalam mesin basuh, saya tetap membawanya ke dobi layan diri. Ketika mesin basuh berjalan, masa yang diperlukan oleh mesin itu untuk satu basuhan lengkap adalah selama 25 minit tidak silap. Saya perasan ketika beroperasi, air yang membasuh pakaian itu seperti bersabun kerana telihat seperti buih di air. Selepas itu, tidak pasti berapa minit mesin telah berjalan, saya lihat ada air turun ke kain, saya rasa ianya air baru. Saya ada juga terlihat air di mesin seperti tidak berbuih lagi tetapi kemungkinan kerana pencahayaan dobi, air saya lihat seperti keruh atau hanya mata saya sahaja yang silap. Ketika dalam proses membasuh itu, mesin ada berhenti sebentar tidak silap selama 2 Kali tanpa kain bergerak Dan mesin memutar (spin) kain sekali sebelum lengkap proses basuhannya.

Saya ragu ragu akan kesucian pakaian kerana tidak pasti sama ada air sudah keluar ketika dalam proses basuhan Dan diganti dengan air yang baharu. Saya was was dengan pemerhatian saya kerana untuk menyedapkan hati, mungkin kain saya berhenti sebentar ketika basuhan untuk air keluar namun saya lihat seperti air sentiasa ada di dalam mesin, tidak pasti mainan mata sahaja atau benar benar tiada air keluar Dan diganti dengan air baru. 

Selepas selesai basuhan, ibu saya mengeluarkannya lalu meletakkan di mesin kering. Saya khuatir jika pakaian itu tidak suci maka tangan ibu saya yang basah itu akan menajiskan pula benda lain yang dipegang oleh beliau seperti strereng Kereta Dan tombol pintu. 

Sebelum ini, saya rasa saya ada ternampak seperti kesan yang sama di seluar dalam ketika mengeringkan kain tetapi tidak silap ianya dibasuh di mesin basuh di rumah yang airnya bertukar (terdapat air yang masuk, kemudian mencuci pakaian, dibuang Dan air baharu masuk) lalu saya keliru sama ada seluar dalam yang sama atau tidak. Seluar dalam itu bukan kepunyaan saya jadi agak sukar untuk saya pastikan. 

Saya khuatir jika pakaian yang dibasuh tidak suci Dan jika tersebarnya najis ke merata tempat kerana tangan menjadi basah ketika mengalihkan kain daripada mesin basuh ke mesin kering di dobi layan diri. 

Mohon pencerahan daripada pihak tuan/puan mengenai masalah saya ini kerana saya menjadi takut ketika di rumah yang dikhuatiri bernajis di merata tempat. Terima kasih. Assalamualaikum.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Membasuh pakaian dengan menggunakan mesin basuh automatik adalah suci kerana ia menepati hukum syarak dalam bab menyucikan pakaian. Ini bertepatan dengan apa yang disebut oleh para fuqaha di dalam kitab dan fatwa yang muktabar.

Metod basuhan yang menggunakan mesin basuh otomatik adalah menepati dua kaedah basuhan yang disarankan oleh fuqaha Shāfi‘iyyah iaitu;

a) Penggunaan air mutlak yang bersih walaupun kurang daripada dua kolah.

b) Berlakunya proses kemasukan air (murur al-mā’) ke atas pakaian yang dimasukkan lebih awal dalam drum mesin basuh dan mesin dobi, bukan sebaliknya. 

c) Terbukti berlakunya bilangan ('adad) basuhan air beberapa kali untuk menghilangkan kesan najis. Pertukaran air basuhan pertama akan dikeluarkan sebelum air baharu dimasukkan bagi putaran kali kedua.

c) Pakaian telah dikeringkan secara putaran (spinning) setelah selesai basuhan berdasarkan mod yang ditetapkan pada kedua-dua mesin. Proses putaran ini menepati kaedah perahan (i’sar) pakaian yang dihukumkan sunat oleh Shāfi‘iyyah dan wajib menurut Hanafiyyah.

Berasaskan prinsip-prinsip di atas, kenyahwujudan najis pada pakaian yang dibasuh menggunakan mesin basuh automatik itu sewajarnya telah dianggap bersih dalam konteks ṭahārah sebagai syarat sah ibadat solat, bukan sekadar menghilangkan kotoran najis (izālah al-najāsah) semata-mata.

Namun adalah lebih baik sekiranya najis yang ada pakaian itu dibuang dan dibasuh terlebih dahulu. Penggunaan mesin basuh separuh automatik atau manual tidak memenuhi syarat menyucikan najis. Oleh sebab itu, najis pada pakaian perlu disucikan dahulu bagi penggunaan mesin basuh manual. Untuk maklumat lebih lanjut sila rujuk garis panduan yang diterbitkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor di pautan berikut: 

https://www.muftiselangor.gov.my/images/pdf/Garis%20Panduan%20&%20Penerbitan/Hukum%20Cucian%20Menggunakan%20Mesin%20Basuh%20Automatik%20dan%20Separa%20Automatik.pdf

Mesin basuh layan diri secara umumnya membasuh pakaian dengan beberapa pusingan air yang berbeza (biasanya air bersabun dan kemudian air bilasan bersih). Jika air bilasan bersih telah digunakan dengan cukup, dan anda yakin bahawa air tersebut meliputi semua bahagian pakaian, maka pakaian tersebut dianggap suci. Sekiranya ada kesan warna yang masih samar-samar disebabkan kesukaran menghilangkannya dimaafkan oleh syarak atas faktor mashaqqah (kesukaran). Setiap pakaian yang telah hilang semua kesan najis khususnya kategori mutawaṣṣiṭah adalah dihukumkan bersih sekiranya semua kesan tersebut dapat dihilangkan dengan mudah. Jika sukar dihilangkan selepas dibasuh dengan sabun (contoh) seperti kesan darah, pakaian tersebut dihukum bersih dengan dimaafkan (diberikan kelonggaran) pada kesan yang berbekas

Oleh itu, merujuk kepada persoalan yang diajukan, pakaian dalam tersebut telah bersih daripada daripada najis selepas dibasuh dengan menggunakan mesin basuh. Justeru, pakaian tersebut tidak menajiskan yang lain kerana ia telah suci.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 13

message user image