Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan. Saya ingin bertanyakan tentang keizinan saya sebagai isteri terhadap suami. Sekiranya saya telah meminta izin suami untuk keluar rumah pergi ke majlis tertentu melalui whatsapp, namun setelah beberapa hari suami masih tidak menjawab whatsapp tersebut sehingga hari majlis, dan saya hadir majlis tersebut adakah saya telah berlaku nusyuz? Saya dan suami PJJ, saya di Malaysia dan suami diluar negara. Suami sentiasa tidak membalas mesej saya tetapi saya risau untuk membiasakan perkara ini. Mohon penjelasan.
Jawapan
Nusyuz berlaku apabila si isteri tidak menunaikan hak yang telah diwajibkan kepada dirinya iaitu hak mentaati suami, bermesraan dengan suami, mejaga keselamatan dirinay dan melazimi kediamannya. Terdapat satu hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA, sabda Nabi SAW:
Maksudnya: Jika isteri meminta izin kepada suaminya untuk keluark beribadah di masjid pada waktu malam, maka izinkanlah.
Hadis ini menjadi dalil dan bukti bahawa si isteri wajib meminta izin kepada suami untuk keluar daripada rumah, sama ada menuju ke masjid atau ke tempat lain juga. Meminta izin dengan memberitahu kepada suami adalah dua perkara yang berbeza. Memberitahu belum tentu mendapat keizinan suami.
Bagi menjawab soalan yang diajukan, keluar daripada rumah tanpa izin suami pada asalnya adalah dilarang dan boleh dihukum nusyuz kepada si isteri jika keluar juga. Kecuali jika terdapat keperluan mendesak maka diharuskan keluar walaupun tanpa izin suami. Contoh keperluan mendesak seperti keluar untuk mendapatkan rawatan, mencari makanan kerana ketiadaan makanan untuk melangsungkan hidup dan sebagainya.
Memandangkan puan dan suami dalam keadaan PJJ, maka terdapat kesukaran untuk sentiasa mendapatkan keizinan bagi setiap tempat yang ingin dituju. Solusi lain bagi mengatasi masalah ini adalah si isteri boleh berbincang dengan suami supaya suami mengizinkan si isteri untuk keluar tanpa perlu meminta izin setiap kali hendak keluar rumah. Suami boleh meletakkan syarat keizinan ini mestilah pergi ke tempat yang selamat, jauh daripada fitnah dan diketahui oleh suami dan memaklumkan kepadanya. Para suami juga dinasihatkan supaya memudahkan urusan isteri dengan bertimbang rasa terutama bagi isteri yang mempunyai kerjaya dan gaya hidup tertentu.
Dalam situasi ini pula, uruf boleh dijadikan sebagai penentu kepada keizinan suami. Jika majlis tersebut adalah majlis kebiasaan yang selalu dihadiri dan telah diketahui bahawa suami memberi keizinan, maka puan boleh pergi ke majlis tersebut. Tetapi jika majlis tersebut bukan suatu kebiasan seperti tempat yang dituju terlalu jauh, atau perlu bermalam dan seumpamanya, maka keizinan suami diperlukan untuk majlis tersebut.
Sekian, terima kasih.