Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz. Saya ingin bertanya, Apakah hukum seorang isteri yang tidak mahu mengikut suaminya pulang kekampung untuk bertemu dengan ibu dan bapa suaminya dengan alasan isteri sakit tetapi masih boleh berjalan. Maka sisuami puaalang bersendirian. Dan apabila suami pulang dari kampung siisteri tidak menegur suami sehingga berlarutan ke 4 hari dan bila masa makan siisteri tidak mempelawa suami. Lagi satu isteri suka melayari media sosial seperti facebook dan tiktok sehinggakan masa untuk bermesra sudah tidak ada, sisuami pernah menegur dan siisteri menjawab dengan nada yang tidak puashati.
Minta penjelasan ustaz....
Dari Hamba Allah
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan:
Mentaati suami dalam urusan kekeluargaan adalah salah satu kewajipan utama bagi seorang isteri, selagi arahan tersebut tidak bertentangan dengan syarak. Ini termasuk menjaga hubungan baik dengan keluarga suami, seperti ibu bapa mertua. Pada asalnya, pulang ke kampung suami bukanlah suatu kewajipan bagi isteri, namun jika suami memberi arahan sedemikian, maka ia menjadi wajib disebabkan kewajipan mentaati suami.
Sekiranya isteri enggan melakukannya tanpa alasan yang kukuh, atau menunjukkan sikap yang tidak baik seperti tidak menegur suami dan mengabaikan tanggungjawab dalam rumah tangga, ia boleh dikategorikan sebagai perbuatan nusyuz. Nusyuz adalah perbuatan yang haram dalam Islam dan termasuk dalam dosa-dosa besar, kerana ia melanggar hak suami dan merosakkan keharmonian rumah tangga. Sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Nisa’ayat 34:
Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).”
Walau bagaimanapun, sebagai seorang suami dan ketua keluarga, perlu juga bermuhasabah dan menilai keadaan isteri dan sekeliling kerana terdapat pelbagai kemungkinan isteri melakukan tingkah laku sedemikian seperti layanan suami kepada isteri, layanan keluarga suami kepadanya, fasiliti di kampung dan sebagainya. Seterusnya suami boleh mencari jalan penyelesaian melalui komunikasi yang baik dengan isteri.
Sekian, terima kasih.