BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum

Saya ada sedikit keraguan berkenaan dengan nikah. Sebelum akad nikah, saya telah mengambil wudhuk. Ketika sampai ke rumah pengantin perempuan untuk proses akad nikah, wakil pengantin perempuan memanggil saya untuk membuat sedikit "touch up" pada muka saya. Ketika itu, wakil pihak perempuan yang juga seorang perempuan telah menyentuh wajah saya yang menyebabkan wudhu saya terbatal.

Saya menjadi serba Salah ketika itu. Untuk berwudhu semula adalah tidak sempat kerana jurunikah telahpun sampai dan menunggu saya. Saya dalam keadaan was-was sama ada nak teruskan melalui proses ijab Kabul dalam keadaan berwudhu ataupun tidak. Lalu saya nekadkan dalam hati untuk teruskan proses akad nikah dan nekad untuk menyemak semula hukum akad nikah tanpa wudhu selepas tamat proses pernikahan (saya sebenarnya was-was sama ada boleh atau tidak akad nikah tanpa wudhu walaupun dalam hati kecik saya ada merasakan yang wudhu tidak termasuk dalam syarat sah nikah)

Soalan saya:

Dalam syarat sah nikah bagi pengantin lelaki, terdapat syarat yang mengatakan bahawa pernikahan hendaklah dalam kerelaan. Adakah keadaan saya ketika melakukan akad nikah itu dianggap bukan dalam kerelaan disebabkan terpaksa melakukannya disebabkan jurunikah sudah menunggu. 

Mohon jasa baik untuk memberikan jawapan. Saya kini agak tertekan berkenaan hal ini. Saya risau perkara ini menyebabkan saya melanggar syarat sah pernikahan

Untuk pengetahuan, saya memang mempunyai penyakit was-was.

Sekian, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan:

Akad nikah merupakan suatu akad mu'awadhah (akad pertukaran seperti jual beli) dan memerlukan kepada redha daripada kedua-dua belah pihak bagi memastikannya sah. Hal ini berdasarkan Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa' ayat:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.

Kerelaan yang dimaksudkan dalam syarat akad nikah adalah nikah tidak dilakukan secara paksaan seperti seseorang mengugut untuk bunuh jika tidak bernikah dengannya atau seumpamanya. Wuduk bukanlah suatu syarat sah akad nikah. Begitu juga, situasi yang dimaksudkan dalam soalan di atas bukanlah suatu paksaan, maka pernikahan tersebut adalah sah setelah mencukupi rukun dan syarat-syaratnya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 16

message user image