Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum..sy nak tanya..sy ade perasaan was2 bab najis anjing.baru2 nie sy ade terpijak najis tapi tidak pasti tu najis apa..sy rasa macam najis anjing sebab sy pernah nampak anjing berak kt situ..tapi sy tidak sertu kasut sy..macam mana ya?adakah tempat sy pijak or benda lain yg terkena kasut tu kena sertu?tapi ain najis tu tak ada..sy tidak berapa pasti..
Lagi 1 kalau kita terlanggar bangkai anjing masa hujan adakah kita kena sertu motor,kaki or beg kita?mungkin terkena air percikan dari bangkai anjing..
Sy jadi terlalu risau sampai basuh tangan byk kali & lama..terlalu fikir kan najis tu..dalam fikiran sy takut tersentuh najis anjing..sy takut najis berpindah merata masa sy pegang atau pijak semua tempat..bagaimana cara nak hilangkan was was sy ye..
Jawapan
Pada dasarnya sesuatu benda adalah suci kecuali telah jelas padanya terdapat najis. Asal kepada sesuatu yang bersih itu kekal dianggap bersih sehingga terbukti secara yakin ia telah dicemari oleh najis. Andaian ataupun syak tidak mengubah status asal yang bersih itu. Sebagaimana kaedah fiqh:
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan.
Oleh itu, merujuk kepada persoalan puan, tidak perlu sertu kasut tersebut sekiranya tidak dapat dipastikan telah terkena najis mughallazah atau terdapatnya najis mughallazah pada kasut tersebut. Manakala terlanggar bangkai anjing semasa hujan di jalanraya juga tidak perlu disertu motor, kaki atau beg kerana tidak dapat dipastikan dengan yakin terdapatnya najis. Jika benar sekalipun, ia dikira umum al-balwa atau perkara yang sukar untuk dielakkan dan ia adalah dimaafkan.
Sekian, terima kasih.